ABDUL Halim menunjukkan udang harimau yang diborong dan dijual di Pasar Besar Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
ABDUL Halim menunjukkan udang harimau yang diborong dan dijual di Pasar Besar Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


“KAMI akui harga udang ditangkap di perairan Terengganu agak tinggi, tetapi ia lebih berkualiti dan diakui lebih manis, segar dan sedap dimakan berbanding tangkapan di perairan lain,” kata pemborong dan peniaga udang, Abdul Halim Abdullah, 58.

Abdul Halim berkata, udang harimau, udang putih, udang solo dan udang minyak yang ditangkap di perairan Terengganu khususnya perairan Dungun disifatkan penggemar sebagai udang kelas A di negara ini.

“Bukan tahun ini, malah sudah lama udang ditangkap di perairan Terengganu dan Dungun kami jual dengan harga stabil dan bukan sesuka hati kami meletakkan harga.

“Sebagai contoh harga udang harimau dijual sekitar RM100 hingga RM140 sekilogram (kg) di Dungun dan ada daerah lain dijual sekitar sekitar RM70 hingga RM90 sekg,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Dungun, hari ini.

Menurutnya, udang putih dijual di antara RM60 hingga RM80 sekg, udang solo RM30 hingga RM40 sekg dan udang merah RM15 hingga RM25 sekg bergantung pada saiz dan kesegarannya.

Katanya, dia banyak menerima komen menyatakan harga udang di Dungun yang mahal, namun apabila mereka tahu kesegaran dan rasanya yang manis baru, mereka faham.

“Udang dan ikan yang ditangkap di Dungun manis dan bermutu kerana lautnya berpasir berbanding perairan lain lautnya bercampur pasir dan lumpur.

“Spesies udang ini mula memasuki perairan Dungun sejak September lalu dan dijangka akan berakhir Mac tahun depan.

“Setiap hari saya akan menempah 500kg udang untuk dijual kepada peraih termasuk permintaan tinggi daripada penggemar dan tauke restoran,” katanya.

Menurutnya, mereka yang tahu keenakan udang Dungun tidak akan mempersoalkan harganya.

Malah, katanya, seminggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina, udang harimau dan solo akan menjadi tumpuan masyarakat Cina termasuk permintaan eksport ke Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 4:24 PM