Seorang nelayan memasang bendera hitam di bot  semasa upacara peringatan bagi mangsa tsunami tahun 2004 di Pantai Pattinapakkam di Chennai, India.
Seorang nelayan memasang bendera hitam di bot semasa upacara peringatan bagi mangsa tsunami tahun 2004 di Pantai Pattinapakkam di Chennai, India.
KELUARGA mangsa korban tsunami beragama Islam membaca al Quran manakala keluarga bangsa Tionghua menabur bunga di tugu peringatan mangsa.
KELUARGA mangsa korban tsunami beragama Islam membaca al Quran manakala keluarga bangsa Tionghua menabur bunga di tugu peringatan mangsa.
Orang Aceh tidak melepaskan peluang mengambil gambar bersebelahan kapal yang kini  menjadi  peringatan setelah dibawa arus sekitar 2.5 kilometer ke daratan ketika tsunami.
Orang Aceh tidak melepaskan peluang mengambil gambar bersebelahan kapal yang kini menjadi peringatan setelah dibawa arus sekitar 2.5 kilometer ke daratan ketika tsunami.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Banyak lagi tempat terutama kawasan luar bandar masih belum pulih sepenuhnya selepas 13 tahun berlalu peristiwa tsunami yang paling teruk merosakkan bangunan dan mengorbankan 170,000 nyawa di Aceh, Indonesia,

Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Zakaria Abd Latif berkata, pihaknya antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih aktif menyalurkan bantuan di wilayah itu terutama projek membaik pulih di penempatan luar bandar
di Pidie Jaya.

“Selain menjadi antara NGO terawal tiba menyalurkan bantuan kemanusiaan di Aceh sejurus bencana itu, kami juga kerap menganjurkan pelbagai program amal ketika berkunjung ke Aceh hingga kini.

“Pada masa ini, Muslim Care bekerjasama dengan penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mengumpul dana bagi membaik pulih infrastruktur perkampungan di Pidie Jaya dengan fokus utama kami membina sebuah surau dan telaga air untuk kegunaan penduduk.

“Dalam sesi lawatan kami tahun ini ke wilayah berkenaan, mendapati masih banyak lagi penempatan luar bandar belum pulih sepenuhnya tidak seperti kawasan bandar yang sudah membangun selepas mendapat banyak bantuan dana termasuk pihak antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, masalah kekurangan dana selain lokasi Pidie Jaya yang kerap dilanda gempa bumi itu menjadikan proses pemulihan berjalan agak perlahan walaupun kini sudah memasuki tahun ke-13 peristiwa itu berlaku.

“Banyak rumah penduduk asal kami dapati hanya dibaiki ala kadar untuk membolehkan mereka berlindung daripada panas matahari dan hujan, malah penempatan baru dibangunkan di kawasan itu pula hanya sebuah rumah kecil dengan satu bilik saja.

“Ketika ini, orang kampung terutama kanak-kanak dan remaja terpaksa merentas laluan sejauh satu kilometer di sawah padi dan kolam untuk ke surau berdekatan bagi pengajian agama dan menunaikan solat.

“Kami juga dapati mereka tidak mempunyai sumber bekalan air sempurna. Disebabkan itu, kami merasakan ada keperluan bagi membina surau serta telaga air untuk kegunaan penduduk pada masa akan datang,” katanya.

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi berukuran 9.3 skala Richter berlaku di dasar Lautan Hindi yang berpusat di pantai barat Sumatera, Indonesia paling kuat sejak lebih 40 tahun lalu lalu mengakibatkan tsunami.

Kehadiran ombak gergasi mencapai ketinggian 30 meter itu bukan saja melanda bumi Indonesia yang paling teruk memusnahkan Aceh, malah turut membadai 13 negara lain termasuk Malaysia, Thailand, India, Sri Lanka, Maldives dan Somalia di timur Afrika hingga meragut ratusan ribu nyawa.

Di Malaysia kawasan paling terjejas teruk ialah Kota Kuala Muda Sungai Petani, Kedah yang menjejaskan 10 kampung di pesisir pantai Kampung Sungai Muda hingga meragut nyawa 11 orang serta mengakibatkan ratusan rumah musnah dan rosak teruk selepas ombak besar tiga serangkai setinggi 2.5 hingga lapan meter membadai pantai sehingga sejauh 300 meter.

Selain itu, turut merasai gelombang tsunami ialah pesisiran pantai Pulau Pinang, Perlis dan Selangor yang mengakibatkan jumlah keseluruhan angka kematian di negara ini mencecah 68 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 4:59 AM