Muhammad Apendy Issahak


PEMILIK pasar raya ditemui mati dibunuh dalam kejadian samun di Pusat Perdagangan Jelapang, Ipoh hari ini.

Mangsa, Sem Ah Yem, 69, ditemui dalam bilik di tingkat atas bangunan dua tingkat terbabit dengan keadaan tangan dan kaki berikat selain kesan luka di kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada anak mangsa yang datang untuk membuka premis berkenaan, jam 8 pagi.

“Ada sembilan unit premis dalam bangunan berkenaan dan mangsa ditemui dalam sebuah daripada bilik yang dijadikan tempat tidurnya.

“Kejadian bermotifkan samun, penjenayah memecah masuk bangunan melalui bumbung pasar raya.

“Suspek memotong bumbung zink sebelum turun dengan tali ke premis. Penjenayah kemudiannya mengikat mangsa,” katanya di lokasi.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya dipukul dengan objek tumpul di kepala dan pemeriksaan menemui dua kesan kecederaan pada bahagian berkenaan.

Mohd Ali berkata, selepas itu suspek ke tingkat bawah dan memecah masuk bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV).

“Bilik kawalan CCTV berkenaan turut menempatkan peti besi. œSuspek yang dipercayai lebih daripada seorang memecahkan peti besi itu dan melarikan wang tunai kira-kira RM80,000.

“Mangsa sudah tujuh tahun tinggal berseorangan di bilik berkenaan. Anak serta pekerjanya hanya ada pada waktu operasi iaitu daripada jam 9 pagi hingga jam 10 malam,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut menemui besi sepanjang kira-kira satu meter dengan kesan darah di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 11:58 AM
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi Sem Ah Yem dibunuh. Gambar L Manimaran.
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi Sem Ah Yem dibunuh. Gambar L Manimaran.