Anggota forensik menjalankan siasatan di lokasi kedai menjual barangan kemas dipecah masuk. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Anggota forensik menjalankan siasatan di lokasi kedai menjual barangan kemas dipecah masuk. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Raja Noraina Raja Rahim


EMPAT penjenayah mengikat tiga pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Nilai, sebelum memecah masuk kedai emas dalam pasar raya berkenaan, 2 pagi hari ini.

Suspek yang juga lelaki dipercayai warga Myanmar, bertopeng selain bersenjatakan parang, memecah masuk bangunan pasar raya itu melalui pintu depan.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, suspek mengacu parang ke arah tiga pengawal keselamatan yang bertugas sebelum mengikat mereka menggunakan tali.

“Suspek memecah pintu farmasi dan premis menjual barangan kecantikan yang terletak bersebelahan kedai emas sebelum menebuk dinding untuk masuk ke kedai emas berkenaan.

“Suspek kemudiannya memecahkan peti besi menggunakan gerudi sebelum melarikan RM1,562 serta barangan kemas yang belum dapat dipastikan jumlahnya,” katanya.

Menurut Zaldino, kejadian hanya disedari kira-kira 6 pagi oleh seorang pekerja pasar raya yang tiba di lokasi.

Pekerja itu kemudiannya menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian.

“Kami masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan itu untuk mengenal pasti selain mengesan suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 3:16 PM