Pasar raya yang dipecah masuk. FOTO Syamsi Suhaimi
Pasar raya yang dipecah masuk. FOTO Syamsi Suhaimi
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Lebih dua individu dipercayai memecah masuk pasar raya di Kok Lanas, di sini dan melarikan sejumlah wang yang disimpan dalam peti besi.

Kejadian berlaku antara 11 malam semalam hingga awal pagi tadi dengan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Berikutan kejadian, pasar raya itu ditutup selama beberapa jam dan hanya dibuka semula selepas Zuhur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Ahmad Taufek Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lebih dua suspek melakukan kegiatan itu dan menebuk peti besi untuk melarikan sejumlah wang.

"Mereka memecah masuk tingkat tiga bangunan yang menempatkan peti besi. Sebelum itu, penjenayah memasuki pasar raya menerusi pintu depan dan keluar mengikut pintu belakang.

"Suspek juga melarikan kamera litar tertutup (CCTV) premis. Jumlah wang dilarikan dan kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 5:25 PM