Kakitangan pejabat pos melihat bumbung zink yang ditebuk penjenayah. FOTO Abdullah Yusof
Kakitangan pejabat pos melihat bumbung zink yang ditebuk penjenayah. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


PEJABAT Pos di Tanjung Rambutan, Ipoh, dipecah masuk awal pagi tadi dan wang tunai kira-kira RM25,000 yang disimpan dalam peti besi dilarikan.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, tiga lelaki dipercayai memecah masuk pejabat pos di premis rumah kedai dua tingkat melalui bumbung belakang.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian 7.10 pagi daripada Penyelia Serahan pejabat pos berkenaan.

“Penyelia berusia 46 tahun itu mendapati berlaku pecah masuk di pejabat pos dan hasil pemeriksaannya mendapati atap belakang tempat letak motosikal sudah dipotong, pagar hijau dan zink biru yang dijadikan dinding di kawasan itu digunting.

“Penyelia itu menyatakan kali terakhir keluar dari kawasan itu pada 7 malam semalam, di mana dia adalah orang terakhir keluar untuk bahagian serahan di tingkat atas. Bagi bahagian tempat kejadian, penyelia tidak pasti siapa yang keluar kali terakhir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, tempat kejadian adalah deretan kedai dua tingkat di mana kawasan sekeliling berdekatan dengan kawasan perumahan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati hanya tingkat bawah pejabat pos yang dipecah masuk dan dua cap jari berjaya dikesan selain semakan kamera litar tertutup (CCTV) merakam tiga lelaki yang memakai topi dan berpenutup muka dipercayai melakukan jenayah terbabit.

“Kotak penggera juga dicabut dan dijumpai di dalam longkang berdekatan,” katanya.

Mohd Ali berkata, siasatan dijalankan mendapati suspek disyaki masuk dan keluar premis itu melalui lubang yang ditebuk di atap dan pagar yang dipotong.

“€œPolis menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kes kecurian itu dua mesin gerudi dan dua pemutar skru.

“Kerugian adalah wang tunai lebih kurang RM25,000 iaitu wang kutipan yang disimpan di dalam peti besi yang ditebuk suspek,” katanya.

Menurutnya, polis percaya suspek memecah masuk pada 3 pagi kerana pengurus pejabat pos terbabit ada menghubungi Balai Polis Tanjung Rambutan memaklumkan penggera berbunyi.

“Anggota polis ada pergi ke tempat kejadian dan melaporkan tiada apa berlaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kejadian itu pertama kali berlaku di pejabat pos berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 8:38 PM