AMELINA tampil single bergenre balada buat pertama kali yang dianggap cabaran besar baginya.
AMELINA tampil single bergenre balada buat pertama kali yang dianggap cabaran besar baginya.
Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS lebih dua dekad beraksi di pentas seni muzik tanah air dengan memperjuangkan genre muzik dangdut, penyanyi Amelina kini memecah tradisi apabila melancarkan single bergenre balada.

Buat pertama kali, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin hadir dengan single balada, Ada Untukmu, hasil ciptaan sepenuhnya Aepul Roza.

Single itu adalah untuk memberikan variasi kepada peminatnya sekali gus menjadi cabaran besar buat dirinya sebagai penyanyi dangdut.

"Selama lebih 20 tahun, saya menyanyikan lagu dangdut dan bagi saya, genre ini bukan lagi sesuatu yang sukar memandangkan umpama sudah menjadi rutin buat saya. Jadi, apabila menukar kepada genre lain, cabarannya besar.

"Cabaran terbesar adalah untuk membuang lenggok dangdut dah menjadi kebiasaan dan umpama 'trademark' dalam nyanyian saya," katanya.

Berkongsi mengenai lagu Ada Untukmu, ia mengisahkan mengenai kehidupan rumah tangga pasangan yang berdepan dugaan apabila si isteri meninggal dunia.

"Apabila isteri meninggal dunia, suaminya seperti tidak boleh menerima kenyataan. Namun, si isteri sebenarnya sentiasa ada bersama," katanya.

Lebih menarik, video muzik yang dilancarkan jam 6 petang semalam turut menampilkan penyanyi, Sham Visa sebagai pelakon.

"Saya memang sudah mengenali Sham dan itu sedikit sebanyak memudahkan kerja penggambaran kerana kami sudah serasi. Kami juga tak kekok memandangkan usia kami pun sesuai dengan karakter yang dimainkan," katanya.

AMELINA kini dalam fasa mengenali seorang jejaka dan menyerahkan soal jodoh ketentuan Tuhan.
AMELINA kini dalam fasa mengenali seorang jejaka dan menyerahkan soal jodoh ketentuan Tuhan.

Amelina juga akui, satu lagi cabaran adalah ketika perlu tampil membuat persembahan secara langsung.

"Kalau anda pernah menonton persembahan saya secara langsung, tentunya ramai tahu bagaimana corak persembahan saya dan melalui lagu dangdut, mudah untuk saya menarik perhatian dan salurkan tenaga kepada penonton.

"Kalau lagu balada, saya perlu bersiap sedia dan berfikir bagaimana untuk menarik perhatian penonton," katanya.

Bercerita mengenai kehidupan, ibu tunggal kepada enam cahaya mata itu kini mula membuka hatinya buat jejaka untuk dijadikan teman hidup.

"Buat masa sekarang, kami masih saling kenal mengenali antara satu sama lain. Kata orang, dalam fasa 'sweet-sweet'. Tapi, semuanya saya serahkan kepada jodoh," katanya.

Ditanya sama ada dia bakal menamatkan zaman solonya dalam tahun ini, Amelina menyerahkan semuanya kepada takdir. Baginya, paling utama adalah keselesaan anak-anak.

"Tak adalah dalam tahun ini. Insya Allah, macam saya cakap biarlah semuanya atas ketentuan jodoh. Anak-anak pun selesa dengan dia dan dia pun selesa dengan kerjaya saya sebagai artis.

"Apa yang penting, dia jenis yang peramah, tidak sombong dan dapat bergaul dengan orang sekeliling saya. Itu membuatkan saya rasa senang dengan dirinya," katanya.

Amelina sebelum ini berumah tangga dengan usahawan bernama Reduan pada 20 Mei 1999 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri 'Nur Athirah, 19; Putera Al' Affiq, 18; Putera Al' Asyraff, 17; Puteri Nur' Asyurah, 15; Putera Al' Arffa, 13 dan Putera Al' Amzar, 8 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 6:30 AM