Eyka Farhana (kiri) bersama Nadia Aqilah.
Eyka Farhana (kiri) bersama Nadia Aqilah.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Teruja membawa watak pencuri bernama Lola dalam drama bersiri Dukun Diva, pelakon Eyka Farhana mengambil inspirasi daripada siri Netflix, Money Heist sebagai rujukan.

Eyka berkata, dia juga bersyukur apabila pengarah, Ariff Zulkarnain banyak membantu untuk menyempurnakan watak itu yang dianggap mencabar.

"Sebelum menjalani penggambaran, Ariff minta saya menonton Money Heist supaya saya dapat inspirasi dan menjiwai watak pencuri dengan sebaik mungkin.

"Saya perlu ucapkan terima kasih kepada Ariff sebab dia banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya. Lagipun penggambaran drama bersiri ini mengambil masa yang lama untuk dihabiskan kerana pandemik Covid-19. Jadi saya selalu diingatkan untuk pegang watak Lola di set penggambaran," katanya.

Menurut Eyka, selain membawa watak sebagai pencuri, dia juga perlu berpenampilan berbeza seperti berambut pendek dan berperwatakan kasar.

"Ariff memang nak saya berbeza dalam naskhah ini. Jadi saya perlu tampil dengan rambut pendek dan cara pakaian saya yang kelihatan sedikit kasar.

"Walaupun Ariff ada minta saya untuk potong rambut tapi disebabkan beberapa komitmen lain yang berjalan serentak saya tidak dapat merealisasikan hasratnya itu.

"Namun, saya memakai rambut palsu supaya rambut saya kelihatan pendek. Saya seronok membawakan drama bersiri ini kerana semua babak yang dipegang sangat mencabar dan berat untuk dilakukan," katanya.

Dukun Diva mengisahkan Rubiah Samsudin atau dengan gelaran popularnya Che Yah (lakonan Nadia Aqilah) yang gagal menjadi pelakon terkenal dan bekerja sebagai GRO di sebuah kelab malam. Disebabkan itu Che Yah sangat malu untuk pulang menemui keluarganya di kampung.

Satu hari, Che Yah menerima panggilan daripada hospital memaklumkan kakaknya, Aishah sedang nazak. Di sini bermulanya perubahan dalam hidup Che Yah bila mengetahui dia bakal menjaga anak saudaranya, Lola (lakonan Eyka Farhana) seorang remaja yang bermasalah.

Episod pertama Dukun Diva akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria jam 9 malam bermula Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:04 PM