Nabihah Kamal

“BILA saya ke sini (Malaysia), orang bagi saya belacan. Selepas itu, saya tiba-tiba fasih (bahasa Melayu), tak tahu macam mana," seloroh Berney, 32, yang fasih bertutur bahasa Melayu selepas 18 bulan bekerja di negara ini.

Berney ditemui di Majlis Pengagihan Bubur Lambuk anjuran We Love Charity, di Masjid Al-Bukhary di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur hari ini.

Dia antara sukarelawan yang memasak dan mengagihkan bubur lambuk berkenaan.

Berney atau mesra disapa Bakar berkata, dia berasal dari Amerika Syarikat dan bekerja sebagai koordinator di syarikat di ibu kota.

BERNEY atau lebih mesra dengan panggilan Bakar. FOTO | Nabihah Kamal
BERNEY atau lebih mesra dengan panggilan Bakar. FOTO | Nabihah Kamal

Katanya, nama Bakar diperoleh daripada nama panggilannya, iaitu Burn.

"Di negara saya, nama samaran adalah Burn tetapi apabila diterjemah kepada bahasa Melayu ramai memanggil saya Bakar.

"Saya belajar bahasa Melayu ketika saya mula bekerja di negara ini. Bahasa Melayu tidak mudah untuk dipelajari tetapi ia menarik kerana bunyinya berbeza," katanya.

Menurutnya, dia terkejut ketika tiba di negara ini kerana melihat Malaysia mempunyai penduduk pelbagai kaum, budaya dan adat.

"Di sini, masyarakat hidup harmoni. Banyak makanan sedap dan dapat lepak di mamak antara perkara 'favourite' (kegemaran) yang saya selalu lakukan di Malaysia dan ia tiada di tempat saya.

"Jika ada kesempatan, saya mahu terus menetap di sini," katanya.

Berney berkata, pengalaman ketika Ramadan di negara ini akan menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

"Di Amerika Syarikat, sambutan Ramadan tidak semeriah ini kerana kurang orang Muslim di sana. Apabila berada di Malaysia, saya lihat ramai orang bersama bergotong-royong sediakan makanan untuk berbuka puasa.

"Hari ini juga saya belajar makanan baru iaitu bubur lambuk dan membantu memasak dan mengedarkannya, " katanya.

Menurutnya, dia tidak sabar menunggu Aidilfitri kerana mahu berkunjung ke rumah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyambut perayaan itu.

"Tahun lalu, saya ke istana dan rumah PM (Perdana Menteri) untuk bersama sambut hari raya. Pelbagai juadah makanan yang saya rasa termasuk ketupat dan rendang yang sangat saya suka," katanya.

Sementara itu, Presiden We Love Charity, Mazdiana Abd Rashid berkata, dia bersama lebih 100 sukarelawan memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bulan Sabit Merah Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pusat transit gelandangan dan orang ramai.

"Kami menyediakan lebih 12,000 bungkusan bubur lambuk dalam tempoh tiga minggu untuk diedarkan sepanjang Ramadan ini.

"Ini adalah tahun kedua kami mengadakan aktiviti ini, tidak sangka kerja amal kali ini turut disertai Berney," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 4:30 PM
RAKYAT Amerika, Berney Tower (dua dari kiri) dan isteri Karissa Tower (kiri) serta rakyat Iran Milad Kaufinezh serta sukarelawan We Live Charity menyediakan bahan-bahan untuk memasak bubur Lambuk di Masjid Al Bukhari, Kuala Lumpur. FOTO | Yazit Razali
RAKYAT Amerika, Berney Tower (dua dari kiri) dan isteri Karissa Tower (kiri) serta rakyat Iran Milad Kaufinezh serta sukarelawan We Live Charity menyediakan bahan-bahan untuk memasak bubur Lambuk di Masjid Al Bukhari, Kuala Lumpur. FOTO | Yazit Razali