BUBUR lambuk ‘gear box’ dimasak Tok Banang menjadi kegemaran ramai. FOTO Mary Victoria Dass
BUBUR lambuk ‘gear box’ dimasak Tok Banang menjadi kegemaran ramai. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Kulai: Resipi 27 ramuan termasuk rempah-ratus membuatkan bubur lambuk dihasilkan Mohd Bohari Ahmad Kassim, 64, atau lebih dikenali sebagai Tok Banang oleh masyarakat di sini bukan saja lazat malah tidak mudah basi.

Bekas Ketua Kampung Saleng, Senai itu berkata, resipi dan petua masakannya itu pernah menarik perhatian beberapa chef tempatan malah ada yang meminta ia dikongsi, bagaimanapun Mohd Bohari tidak berbuat demikian kerana yakin air tangan setiap individu adalah berbeza.

"Saya pernah menyertai pertandingan memasak bubur lambuk di sekitar Senai dan Kulai serta muncul sebagai juara sebanyak empat kali.

"Selepas mengadili masakan saya termasuk bubur lambuk ayam, daging dan 'gear box', beberapa chef meminta untuk berkongsi resipi.

"Tapi setakat ini saya hanya berkongsi resipi dengan ahli keluarga dan berharap mereka mewarisinya pada masa depan," katanya.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, sejak 15 tahun lalu dia tidak ketinggalan memasak bubur lambuk termasuk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk diagihkan pada Ramadan.

TOK Banang (kiri) dibantu menantu, Khairul Aime ketika memasak bubur lambuk bagi memenuhi tempahan. FOTO Mary Victoria Dass
TOK Banang (kiri) dibantu menantu, Khairul Aime ketika memasak bubur lambuk bagi memenuhi tempahan. FOTO Mary Victoria Dass

Beliau yang tinggal di Kampung Baru Saleng berkata, ia bukan saja bagi memenuhi permintaan pengurusan masjid dan surau sekitar kawasan Senai dan Kulai namun memberi peluang kepadanya untuk beramal kerana kebiasaannya tidak mengambil upah untuk memasak juadah berbuka puasa itu.

Menurutnya, dia hanya mengenakan bayaran atau mengambil upah memasak apabila diundang syarikat swasta untuk memasak bubur lambuk.

"Semuanya bermula pada 1989, ketika tinggal di Kuala Lumpur, saya sering ke Masjid Kampung Baru ketika Ramadan dan melihat cara penyediaan bubur lambuk.

"Di situ saya melihat sendiri cara penyediaannya mengolah resipi dengan menambah ramuan tertentu. Bubur lambuk ini tahan basi selama 24 jam dan tidak muak.

"Kebiasaannya saya memasak hingga lima periuk bubur lambuk yang mampu diedarkan kepada 2,000 individu dan ia memakan masa antara tiga hingga empat jam untuk disiapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 1:16 PM