Nor Akmar Samudin dan Herizal Amriz Hismat Alang


Kuala Lumpur: Saban tahun, setiap kali tibanya Ramadan, bubur lambuk Kampung Baru menjadi tumpuan warga kota.

Menurut Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris, setiap tahun pihak masjid menyediakan 15 periuk bubur lambuk.

“Orang ramai mula berkumpul di pekarangan masjid sejak jam 4 petang dan kami membuka dua barisan iaitu untuk jemaah masjid dan orang ramai.

“Kami hanya mengambil masa setengah jam untuk mengagihkan kira-kira 3,000 bungkus bubur lambuk yang dimasak itu selepas solat Asar,” katanya.

Jelas Idris, bagi menyempurnakan tugas penyediaan bubur lambuk, ia diketuai seorang tukang masak dan dibantu lapan orang pekerja.

ABU Bakar Mohamad, 72, menyediakan bahan mentah  bubur lambuk Masjid Kampung Baru.
ABU Bakar Mohamad, 72, menyediakan bahan mentah bubur lambuk Masjid Kampung Baru.

“Pihak masjid juga ada pasukan khas untuk membungkus bubur lambuk,” katanya.

Kata Idris lagi, agihan itu yang berlangsung pada 1 hingga 26 Ramadan menggunakan 5,850 kilogram beras.

“Setiap tahun masjid menerima sumbangan beras daripada peniaga di sekitar Kampung Baru manakala bahan untuk ramuan bubur dibeli sendiri.

“Masjid membelanjakan lebih RM100,000 setiap tahun bagi penyediaan bubur lambuk ini,” katanya .

Menceritakan keenakan bubur lambuk Kampung Baru yang sudah sinonim dengan bulan Ramadan, kata Idris, tiada rahsia tertentu dalam penyediaannya.

IMAM Masjid Kampung Baru, Saifuzzaman Mohamed Salleh menyusun periuk sebagai persediaan memasak bubur lambuk untuk orang ramai sepanjang  Ramadan.
IMAM Masjid Kampung Baru, Saifuzzaman Mohamed Salleh menyusun periuk sebagai persediaan memasak bubur lambuk untuk orang ramai sepanjang Ramadan.

“Kami menggunakan resipi biasa saja dan tidak pernah merahsiakan bahan yang digunakan, selain tidak pernah mengurang atau menambah ramuan. Mungkin juga keberkatan bersedekah membuatkan ia sedap,” katanya.

Di samping itu, ada juga badan korporat yang memberi sumbangan kepada masjid Kampung Baru untuk diagihkan kepada orang ramai.

Ketika tinjauan di masjid, segala persiapan untuk membuat bubur lambuk sudah tersedia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 6:50 AM