Gambar hiasan
Gambar hiasan
Yusmizal Dolah Aling


ORANG ramai di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur berpeluang merasai bubur lambuk turun-temurun Johor Sabtu ini, antara menu istimewa sempena Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan.

Disediakan dengan tujuh jenis ulaman segar, ia adalah juadah tradisi khusus daripada selatan tanah air untuk dikongsi dengan orang ramai pada majlis berkenaan.

Naib Presiden Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ), Najmuddin Mahmood berkata, seramai 20 orang sukarelawan akan membantu menyediakan bubur berkenaan yang akan dimasak serentak bersama bubur istimewa Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Kita cuba menyediakan menu ini sebaik mungkin bagi memenuhi cita rasa orang ramai. Insya-Allah, kita harap dia menepati selera berbuka,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama agensi terbabit.

MOHD Ajib (dua dari kanan) memberikan taklimat kepada jawatan kuasa pelaksana Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO NSTP
MOHD Ajib (dua dari kanan) memberikan taklimat kepada jawatan kuasa pelaksana Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO NSTP

Sementara itu, Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya berpuas hati dengan persiapan program julung kalinya itu dan berharap segala-galanya berjalan lancar.

Katanya, ia akan dijadikan contoh untuk program seumpamanya pada masa depan membabitkan masjid serta anak kariah di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Alhamdulillah pengurusan masjid yang diketuai Datuk Idris Shaari Mat Aris sebelum ini biasa menyediakan bubur lambuk untuk skala besar.

“Bezanya kali ini kita ada tetamu diraja, Raja Permaisuri Agong yang akan memasak resipi istimewa baginda. Ini juga peluang rakyat jelata bersama-sama dalam program bersejarah di masjid ini,” katanya.

Menurutnya, semua Pengerusi Masjid akan menerima bubur lambuk dari Raja Permaisuri Agong sebelum Zohor, manakala orang ramai boleh mengambilnya selepas Asar seperti biasa pengagihan dibuat oleh Masjid Kampung Baru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:48 PM