TONY Osman menyiapkan gerainya di Bazar Ramadan eMart Batu Kawa. FOTO Mohd Roji Kawi
TONY Osman menyiapkan gerainya di Bazar Ramadan eMart Batu Kawa. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Meskipun dihimpit kenaikan harga bahan mentah, ada peniaga bazar Ramadan nekad untuk mengekalkan harga jualan makanan dan minuman sama seperti tahun sebelumnya.

Peniaga Bazar Ramadan E-Mart di Batu Kawa, Tony Osman berkata, keputusan itu dibuat atas dasar pelanggan harus diutamakan.

"Keadaan sekarang memang mencabar bagi peniaga makanan kerana harga bahan mentah yang semakin tinggi.

"Tetapi saya tidak akan menaikkan harga makanan yang dijual kerana yang penting kepuasan pelanggan harus diutamakan, tambahan pula berniaga di bazar Ramadan ini hanya setahun sekali," katanya yang ditemui ketika sedang menyiapkan gerainya sebelum memulakan perniagaan esok.

Tony berkata, juadah utama dijual ialah nasi briyani ayam, kambing, lembu dan ikan tenggiri.

"Tahun lalu saya menjual briyani di bazar Ramadan pada harga antara RM10 hingga RM18 dan harga itu saya kekalkan tahun ini," katanya.

Sementara itu, peniaga di Satok, Eda Johari pula mengakui belum dapat menetapkan harga jualan meskipun bazar Ramadan akan bermula esok.

"Saya serba salah, sama ada menjual pada harga seperti sebelum ini atau naikkan sedikit.

"Saya menjual makanan bergoreng seperti mi, kue tiaw dan bihun yang semuanya menggunakan telur.

"Ketika berniaga di Bazar Ramadan tahun lalu, harga telur masih antara RM10 hingga RM12 sepapan, tetapi sekarang sudah mencecah antara RM19 hingga RM20," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 3:39 PM