MOHD Haris Abdullah bersama nasi lemak RM1 yang dijual di bazar Ramadan Masjid Tanah. FOTO Nazri Abu Bakar
MOHD Haris Abdullah bersama nasi lemak RM1 yang dijual di bazar Ramadan Masjid Tanah. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Masjid Tanah: "Walaupun harga barang naik namun harga nasi lemak yang kami jual tetap RM1 sejak 10 tahun lalu," kata peniaga bazar Ramadan Masjid Tanah, Norliana Suparman.

Norliana, 38, berkata, apa yang penting, rezeki itu dikongsi bersama dengan harapan setiap orang dapat menikmati nasi lemaknya pada harga sama.

Katanya, walaupun berdepan sedikit kesukaran untuk mendapatkan bekalan daun pisang, dia dan suami, Mohd Haris Abdullah, 42, tetap berusaha memenuhi permintaan pelanggan di bazar Ramadan.

"Kami menanak 10 kilogram beras sehari untuk dijadikan nasi lemak.

"Resepi nasi lemak ini hasil tunjuk ajar ibu saya, Azizah Mad Som, berumur 65 tahun. Di dalamnya ada sambal ikan bilis, kacang, telur rebus serta timun.

"Alhamdulillah, sambutan amat baik daripada pelanggan setiap kali bazar Ramadan. Sebelum ini, saya turut berniaga di pasar malam di seluruh Masjid Tanah namun kini terpaksa menangguhkannya bagi menjaga ibu yang tidak sihat," katanya yang menetap di kampung Rantau Panjang di sini.

Menurutnya, dia sudah berniaga di bazar Ramadan sejak 10 tahun lalu dan akan meneruskannya selagi ada permintaan.

Pada masa sama, pada hari biasa, pasangan berkenaan menerima tempahan penduduk selain masjid dan surau.

Mohd Haris pula berkata, masjid serta surau akan menempah sekurang-kurang 100 bungkus nasi lemak pada setiap program dijalankan.

"Kami kesuntukan masa dan ia juga antara sebab kami tidak sempat berniaga di pasar malam.

"Kami bersyukur kerana permintaan masih tinggi. Walaupun untung diperoleh tidak besar namun apa yang penting, pelanggan dapat menikmati nasi lemak ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 2:48 PM