REAKSI Ifedayo selepas membolosi gawang JDT. FOTO  Selangor FC
REAKSI Ifedayo selepas membolosi gawang JDT. FOTO Selangor FC
Rizar Mohd Noor

Johor Bharu: Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel menganggap keputusan seri 1-1 ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam sudah cukup memuaskan.

Katanya, selepas bertarung selama 90 minit perlawanan dan berakhir dengan keputusan seri tatkala menentang pasukan yang berstatus juara liga tujuh musim berturut-turut amat membanggakan apabila barisan pemain menunjukkan mentaliti positif sepanjang aksi itu.

"Pemain tunjuk karakter baik dengan mengawal permainan dan jarang melakukan kesilapan malah kerap mematikan gerakan berbahaya barisan pemain JDT yang begitu rakus mengasak pertahanan kami.

"Malah kelibat barisan serangan diteraju Ifedayo (Olegensu) dan Sharel Fikri (Md Fauzi) terutama di babak pertama sentiasa beri tekanan terhadap benteng JDT dan usaha itu memberi peluang kepada kami menjaringkan gol di awal permainan.

"Kami juga berpeluang menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan tetapi itulah bola sepak kadang-kadang nasib tidak menyebelahi Selangor FC. Namun kami tidak pulang kosong sebaliknya mencuri satu mata di gelanggang lawan," katanya.

Neitzel tidak menafikan betapa kegagalan dua sepakan penalti oleh Gonzalo Cabrera dan Bergson Da Silva memberi lebih keyakinan buat pemainnya terus memberi tekanan dan kekuatan mental serta semangat melawan barisan pemain juga menyumbang bagi mengelak tewas dalam perlawanan itu.

Pengendali dari Jerman itu juga menyatakan pada awalnya taktikal dirancang lebih tertumpu memberi tekanan terhadap benteng JDT di awal 20 minit perlawanan bagi mengelak skuad kendalian Benjamin Mora bergerak di kawasan Selangor FC.

"JDT kerap beraksi dengan corak kawalan bola dan saya ada dua pilihan sama ada beraksi di kawasan sendiri dengan berlegar di posisi atau kedua, memberi tekanan dengan corak serangan pantas. Jadi saya pilih corak permainan yang kedua.

"Apapun kami tidak kerap beraksi dengan memberi tekanan secara berterusan kerana ia mungkin menyebabkan pemain kepenatan, sebaliknya kami ubah dengan corak tekanan dan kemudian kembali di kawasan sendiri untuk patahkan serangan pemain JDT," kata Neitzel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 12:31 PM