AKSI antara Selangor dan JDT malam tadi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AKSI antara Selangor dan JDT malam tadi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui jelas kecewa selepas gagal membawa pasukan itu ke pentas final apabila tumpas 0-4 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Jelas Cheng Hoe, kesukaran untuk menyaingi transisi serangan yang dibentuk JDT sukar untuk dibendung apabila mereka sering bertukar-tukar umpanan bermula di posisi pertahanan dan tengah sebelum disudahkan oleh barisan serangan malah benteng Selangor sering terperangkap dengan taktik permainan skuad kendalian Esteban Solari.

"Amat mengecewakan kerana kita gagal beri tentangan terhadap JDT bukan sahaja transisi yang tersusun oleh mereka malah benteng saya juga ada melakukan kesilapan yang memudahkan pasukan lawan menjaringkan gol awal sekali gus menyebabkan moral pemain jatuh.

"Malah ketiadaan Yazan (Al-Arab) dan Fazly (Mazlan) yang terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan pada babak pertama menjejaskan taktikal dan bentuk permainan terutama di posisi pertahanan dan anda sendiri lihat pemain JDT begitu rakus mengasak ke kawasan Selangor.

"Tidak dinafikan kita juga ada melakukan serangan ke kubu JDT dan secara keseluruhan saya tidak boleh mengeluh dengan corak permainan kami kerana mereka sudah tunjuk komitmen dalam perlawanan itu tapi apa yang kekurangan adalah kita perlu wujudkan watak atau karektor yang kuat bagi menyaingi pemain JDT," katanya.

Malah Cheng Hoe juga menegaskan aksi pada 20 minit babak pertama sebelum JDT menjaringkan gol, barisan pemainnya beraksi dengan konsisten apabila melakukan serangan ke kubu lawan dan memberi tekanan terhadap benteng skuad Harimau Selatan.

Beliau menambah, pemainnya sudah mengikut arahan taktikal dalam perlawanan itu dalam usaha untuk menidakkan penguasaan skuad Harimau Selatan itu namun apa yang berlaku mereka gagal untuk mengimbangi corak permainan berintensiti tinggi anak didik Solari yang sentiasa bergerak dan mempamerkan serangan dari posisi sayap kiri dan kanan serta posisi tengah.

Katanya, pemain perlu lupakan kekalahan yang dialami dan harus bergerak terus ke hadapan dan melakukan penambahbaikan bagi memantap lagi pasukan dan berusaha untuk menyaingi JDT dalam saingan Liga Super pada saingan pusingan kedua.

"Dari aspek penambahbaikan kita akan berbincang dengan pihak pengurusan sama ada perlu kita membawa masuk pemain import yang baharu atau kekalkan barisan pemain yang sedia ada atau kita terus bekerja keras dalam suasana semangat yang baik bagi mengharungi kempen liga," kata Cheng Hoe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 12:15 PM