MUHAIMIN menyelamatkan sepakan penalti Cabrera. FOTO Bernama
MUHAIMIN menyelamatkan sepakan penalti Cabrera. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil selepas muncul pasukan pertama melakar kejutan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) tatkala beraksi di Stadium Sultan Ibrahim apabila seri 1-1 pada aksi Liga Super, semalam.

Katanya, bukan sahaja Felda United malah semua pasukan yang mampu menamatkan aksi 90 minit dengan keputusan seri menentang JDT sudah pasti gembira memandang pasukan itu memiliki reputasi hebat.

"Saya sendiri gembira dengan kesungguhan pemain yang membawa pulang satu mata. Namun kami perlu perbetulkan beberapa kelemahan terutama apabila pasukan lawan menjaringkan gol kita tidak boleh berubah sikap dengan permainan bertahan.

"Kita kena bertindak dengan corak permainan menyerang. Apabila bermula babak kedua saya mengarahkan pemain untuk beri tekanan di benteng JDT yang kerap membuka ruang dan hasilnya gol penyamaan mampu dicipta dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

"Walaupun menyamakan jaringan tapi kami tidak boleh bersikap sambil lewa kerana kita tahu kualiti permainan JDT yang akan mengasak daripada setiap sudut namun pemain saya berdisiplin pada babak kedua bagi mengelak terperangkap dengan corak permainan JDT," katanya.

Dalam perlawanan itu, bukan sahaja Frederik Bulot yang melakar kejutan selepas gol penyamaan pada minit ke-51 memastikan skuad The Fighters membawa pulang satu mata, kelibat penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad turut memainkan peranan penting selepas menyelamat bola sepakan penalti Gonzalo Cabrera pada minit ke-66.

Mohd Nidzam jelas teruja dengan kesungguhan Mohd Muhaimin yang beraksi cemerlang menidakkan beberapa percubaan berbahaya barisan serangan JDT yang diterajui Diogo Luis Santo dan memastikan Felda United tidak pulang hampa.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 11:16 AM