Pemain Kuching City FC, Michael Ijizie diapit , pemain Selangor FC, Safuwan Baharudin (kiri) dan A Namathevan (kanan) . -FOTO Ihsan Kuching City FC
Pemain Kuching City FC, Michael Ijizie diapit , pemain Selangor FC, Safuwan Baharudin (kiri) dan A Namathevan (kanan) . -FOTO Ihsan Kuching City FC
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel tetap lega dengan kemenangan 2-1 menewaskan Kuching City FC namun kurang berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan barisan pemainnya sepanjang 90 minit perlawanan pada aksi Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Pengendali kelahiran Jerman itu berkata, pemainnya kerap melakukan kesilapan mudah dan gagal mengawal permainan dengan konsisten sehingga membolehkan Kuching City FC mampu menyamakan jaringan walaupun pada awalnya mendahului 1-0.

"Apa yang berlaku pada perlawanan itu, pemain tidak membuat keputusan yang tepat menyebabkan corak permainan pemain longgar walaupun pada aksi Sabtu lalu kami beraksi dengan baik dan mampu menang 5-1.

"Tapi kali ini semuanya serba tidak menjadi dan saya perlu melihat semula untuk mengkaji apa yang berlaku kerana kami ada baki dua perlawanan lagi malah pertembungan menentang Terengganu FC, Ahad ini penting bagi memburu kedudukan teratas kumpulan.

"Saya tidak merehatkan pemain utama untuk perlawanan itu, sebaliknya menurunkan kesebelasan terbaik menentang skuad kendalian Irfan Bakti (Abu Salim) namun terpaksa melupakan khidmat Ifedayo (Olesegun) kerana dia mengalami kecederaan," katanya.

Neitzel juga menepis tanggapan bahawa beliau akan merehatkan beberapa tonggak kerana sudah layak mengesahkan tempat ke saingan suku akhir memandangkan skuad The Red Giants itu berbaki dua perlawanan.

Katanya, beliau tetap akan membariskan pemain utama apabila berdepan skuad kendalian Nafuzi Zain pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 11:39 AM