BERGSON meraikan jaringan gol bersama rakan pasukan pada di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERGSON meraikan jaringan gol bersama rakan pasukan pada di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari kurang berpuas hati dengan persembahan pemainnya pada babak kedua yang tampak longgar walaupun menang 3-0 menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) dan layak ke suku akhir Piala FA pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Jelas Solari, corak permainan pada babak pertama tampil dengan gerakan tersusun dan sering memberi tekanan terhadap skuad kendalian Azzmi Ab Aziz malah mencipta beberapa peluang berbahaya sehingga berjaya menjaringkan tiga gol untuk berada dalam keadaan selesa pada perlawanan itu.

Malah katanya, sememangnya sukar untuk bermain dengan pasukan yang sebelas pemain 'berkampung' di kawasan sendiri dan ada ketika mereka membentuk sehingga lima atau enam pemain di posisi pertahanan untuk menghalang barisan serangan dan tengah JDT melakukan percubaan berbahaya.

"Saya berpuas hati dengan prestasi pemain pada babak pertama dan kita tahu pada babak kedua pasukan lawan akan beraksi dengan gaya memperlahankan permainan menyebabkan pemain JDT terikut-ikut dan tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

"Situasi itu perlu kita mengatasi segera dan tidak boleh terikut-ikut cara pasukan lawan beraksi kerana kita perlu tingkatkan intensiti permainan dan menggerak bola dengan pantas tapi ianya tidak berlaku pada aksi babak kedua dan kerap bola tersangkut malah kurang beri tekanan di kubu lawan dan saya dapat kesan kelonggaran di setiap posisi pada babak kedua.

"Apapun, ia pendedahan terbaik buat pemain seperti Akhyar (Rashid) yang beraksi dalam kesebelasan walaupun tidak tidak lengkap 90 minit permainan tapi dia beraksi bersungguh-sungguh selain kelibat Adam (Farhan Mohd Faizal) dan Ramadhan (Saifullah) yang masih muda turut diberi peluang beraksi," katanya.

Solari juga tampak kurang senang dengan sikap pemain PDRM FC yang kerap melewatkan permainan dan berharap pengadil perlawanan perlu lebih tegas bagi menangani corak permainan itu kerana sepanjang 45 minit babak kedua purata aksi sebenar hanya mencecah 20 minit ke 25 minit permainan sahaja.

Katanya, apabila berlaku situasi itu maka rentak permainan JDT yang mengamalkan corak permainan berintensiti tinggi terganggu dan berharap ianya tidak berulang bagi memastikan konsistensi permainan sentiasa diwarnai dengan aksi menghiburkan dan bukan memperlahankan rentak permainan.

"Kami akan sekali lagi berdepan PDRM FC, Rabu ini di laman mereka dan dijangkakan mereka akan tampil dengan corak permainan yang sama seperti dilakukan pada aksi malam ini (malam tadi). Jadi kami harus bersedia untuk menghadapi corak permainan begitu.

"Untuk itu saya tidak salahkan pasukan lawan sebaliknya saya salahkan diri sendiri kerana perlu buat lebih baik untuk membentuk pendekatan taktikal tersusun bagi mengelak terperangkap dengan corak permainan pasukan lawan yang gemar melewatkan permainan," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 1:35 PM