SAFAWI berjaya melepasi penjaga gol Perak, Mohammad Nasrullah Abdul Aziz pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, semalam. FOTO Bernama
SAFAWI berjaya melepasi penjaga gol Perak, Mohammad Nasrullah Abdul Aziz pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, semalam. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mengakui bukan mudah untuk menang besar 7-0 menewaskan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim semalam selepas barisan anak didik Mehmet Durakovic kerap mematahkan setiap serangan berbahaya di awal aksi itu.

Katanya, pengendali Perak itu bijak mengatur susunan pemainnya dan membentuk corak permainan taktikal yang menyukarkan pemain JDT bergerak secara bebas apabila tidak memberi tekanan sebaliknya begitu kompak di posisi tengah.

Malah katanya, Perak beraksi dengan formasi 4-4-2 dengan empat pemain di posisi tengah sentiasa berusaha untuk mematikan gerakan tengah JDT yang diketuai Naxto Insa, Leandro Velazquez dan Afiq Fazail tatkalan pasukan lawan menutup ruang untuk bergerak.

"Sebelum Afiq menjaring gol pertama, ia agak sukar untuk kami menembusi benteng pertahanan lawan dan gol itu beri lebih keyakinan kepada kami untuk mengatur langkah bagi meneruskan momentum perlawanan yang lebih konsisten untuk menguasai perlawanan dan seterusnya mendahului 4-0 pada babak pertama.

"Mengenai permainan Ramadhan (Saifullah Usman), saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain yang berusia 20 tahun itu. Dia tidak kekok untuk memperagakan aksi terbaik walaupun berdepan dengan pemain yang lebih berpengalaman dan pemain itu akan diberi peluang kerana tanpa tempoh minit perlawanan sudah tentu dia tidak boleh beri yang terbaik.

"Saya tidak menafikan dia pemain yang bijak dan tahu untuk bertindak dan pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan kompetitf malah dia juga berada di dalam keadaan yang positif dan saya sebagai jurulatih harus beri dia peluang untuk beraksi.

"Safawi (Rasid) tidak berada dalam kesebelasan utama pada aksi menentang Pahang dan Perak kerana dia masih kepenatan dan sebab itu saya menurunkan dia pada babak kedua malah aksi pemain itu tidak mengecewakan kerana turut mencipta jaringan," katanya.

Mengulas mengenai corak permainan yang dipamerkan barisan JDT ketika menentang Pahang yang hanya menang tipis 3-2 berbanding kemenangan besar 7-0 menewaskan Perak, Mora menegaskan tiada perbezaan yang dipamerkan tatkala aksi ketika menentang skuad Tok Gajah, barisan pemainnya jelas menguasai perlawanan.

Katanya, dua kesilapan membolehkan Pahang menjaringkan gol bukanlah ketara sebaliknya pemain bermain dengan konsisten untuk membawa pulang tiga mata dan aksi menentang Perak barisan pemain JDT tampil dengan corak permainan yang sama, kelebihan yang ada buat pemain JDT apabila mereka tahu membaca corak permainan Pahang dan Perak.

"Saya juga melihat ada pemain yang bangkit dengan permainan lebih konsisten berbanding ketika menentang Pahang dan beri impak positif dalam pasukan terutama keinginan untuk memburu kemenangan menjadi kunci utama setiap pemain," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 1:24 PM