KHAIRY (tiga dari kanan) ketika melawat pusat media selepas merasmikan MPC di MITEC.
KHAIRY (tiga dari kanan) ketika melawat pusat media selepas merasmikan MPC di MITEC.
Jumiati Rosly


JUMLAH petugas media yang membuat liputan pada temasya Sukan SEA ke-29 kali ini menyaksikan hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding temasya lalu di Singapura.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, seramai 2,933 media terdiri daripada wartawan, jurugambar, wartawan televisyen, jurukamera serta kru hos penyiar dari rantau ini termasuk media antarabangsa seperti AFP (Agence France-Presse), Reuters, AP (Associated Press), European Pressphoto Agency (EPA), Getty Images, American Eyes Press dan Al Jazeera.

“Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) sudah membuat perancangan teliti untuk memastikan kemudahan dan tempat yang ditawarkan mencukupi dan selesa.

“Kedua-dua ini bakal menjadi pusat nadi berita KL2017 dan saya percaya ia yang terbesar pernah disediakan untuk media di temasya sukan ini,” katanya ketika majlis pelancaran Pusat Media Utama (MPC) dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IPC) di Pusat Dagangan dan Pameran Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Khairy berkata, sebanyak 744 stesyen kerja disediakan di kawasan MPC dan IPC yang berukuran seluas lebih 35,000 kaki persegi dengan kedua-dua pusat itu akan dibuka 24 jam.

Kemudahan bagi media bukan hanya disediakan di MITEC tetapi ia akan disediakan di setiap venue dengan skala lebih kecil.

“Kami juga menubuhkan satu bilik berita kami sendiri yang dianggotai oleh lebih kurang 60 orang terdiri daripada wartawan dan jurugambar rasmi yang akan memuatnaik maklumat dan berita rasmi ke aset digital KL2017,” katanya.

Khairy turut mengingatkan media Malaysia supaya lebih bertanggungjawab dan membuat penilaian sewajarnya ketika menerbitkan berita masing-masing kerana mereka juga bakal mencerminkan nama Malaysia sebagai penganjur.

“Pastikan anda mendapatkan maklumat yang tepat dan rasmi. Jangan menyulitkan lagi apa-apa masalah yang timbul dengan berita yang boleh mengeruhkan keadaan atau mengelirukan orang ramai,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 1:24 PM