BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) melawat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei. FOTO Instagram Khairykj
BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) melawat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei. FOTO Instagram Khairykj
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang ‘terpaksa menggantung raket sementara’ untuk menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama menegaskan dia tidak sabar untuk kembali ke gelanggang.

Bekas pemain nombor satu dunia itu menyuarakan keinginannya itu kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang melawatnya hari ini.

Khairy dalam laman Instagram turut memuat naik gambar beliau bersama Chong Wei yang kelihatan ceria selepas kembali daripada menjalani rawatan kanser hidung tahap pertama di Taiwan pada hujung minggu lalu.

"Saya melawat juara ini hari ini. Dia kembali selepas enam minggu menjalani rawatan kanser di Taiwan.

"Kehilangan lima kilogram, kebanyakannya kerana jisim otot. Prognosis (ramalan doktor) adalah baik. Perlu menguatkan sistem imunisasi," kata Khairy dalam laman Instagram miliknya.

Khairy berkata, beliau gembira melihat Chong Wei mempunyai semangat yang tinggi dan menjalani rawatan dengan baik.

"Malaysia mendoakan anda cepat sembuh dan kembali pulih sepenuhnya!" katanya.

Sebelum ini, teka-teki mengenai masa depan Chong Wei, 36, sama ada kembali aktif sebagai pemain  timbul selepas disahkan menghidap kanser hidung tahap pertama.  

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 7:22 PM