SYED Saddiq (dua dari kiri) semasa menerima nota serah tugas daripada Khairy Jamaluddin pada majlis Selamat Datang ke KBS dan turut bersama timbalannya Steven Sin Chee Keong (kiri) dan mantan timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan (kanan). -Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
SYED Saddiq (dua dari kiri) semasa menerima nota serah tugas daripada Khairy Jamaluddin pada majlis Selamat Datang ke KBS dan turut bersama timbalannya Steven Sin Chee Keong (kiri) dan mantan timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan (kanan). -Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Jumiati Rosly


PUTRAJAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan penggantinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak boleh disalahkan seandainya kontinjen negara gagal memenuhi sasaran pingat emas pada Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan depan.

Khairy yang hadir dalam sesi menandatangani nota serah tugas jawatan itu kepada Syed Saddiq di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini berkata, beliau sanggup mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kontinjen negara pada temasya yang dijadualkan berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September itu.

“Jika anda (Syed Saddiq) tak dapat penuhi sasaran Sukan Asia nanti, anda boleh menyalahkan saya. Saya akan terimanya,” katanya.

Pada Februari 2016, Khairy melancarkan Program Podium yang diwujudkan khusus bagi program bersepadu persediaan atlet elit dengan peruntukan RM75 juta pada tahun itu dengan Institut Sukan Negara (ISN) diberi tugas menjalankannya.

Kontinjen negara mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah temasya itu empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan di mana negara hanya memperoleh lima emas, 14 perak dan 14 gangsa namun pencapaian atlet kali ini bakal menjadi tumpuan apa lagi selepas kewujudan Program Podium.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali berhubung sasaran pingat emas itu.

“Saya sebenarnya sudah berbincang dengan Datuk Lokman Hakim Ali tentang penetapan sasaran ini semalam dan kita akan umumkan mengenai sasaran kepada media dalam masa terdekat.

“Tetapi saya akan jumpa atlet dan persatuan sukan dahulu bagi menetapkan sasaran yang lebih tepat,” katanya.

Biarpun sasaran sering menjadi fokus orang ramai terhadap kontinjen negara, Syed Saddiq berkata, beliau tidak mahu sasaran yang diletakkan menyebabkan kebajikan atlet terpinggir.

“Kita tak mahu memberikan tekanan hingga satu tahap di mana kebajikan mereka (atlet) dipinggirkan. Kejayaan kita adalah kejayaan bersama.

“Jika ada atlet yang sakit, sakitnya sama seperti apa yang kita rasakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 4:51 PM