Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kerajaan akan membuat kajian bagi membatalkan arahan perintah kuarantin wajib terhadap individu yang pulang dari luar negara jika mereka sudah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun perkara itu akan diputuskan berpandukan analisis dan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, sehingga kini kerajaan menetapkan kuarantin wajib terhadap individu yang memasuki negara ini berikutan langkah berjaga-jaga dalam menyekat penularan pandemik itu.

"Kita juga perlu (dapat) nasihat daripada pakar berhubung keberkesanan vaksin itu sebelum membenarkan individu yang divaksin tidak menjalani kuarantin sekiranya pulang dari luar negara," katanya.

Khairy ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Kolaborasi Kejuruteraan Sains dan Teknologi (CREST) Universiti Sains Malaysia (USM) Bukit Jambul, di sini.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, kerajaan masih dengan pendirian mendapatkan vaksin AstraZeneca sebagai usaha bagi mengekang penularan pandemik itu.

Katanya, kerajaan akan mendapatkan maklumat klinikal daripada pengeluar vaksin AstraZeneca susulan dakwaan ada kesan sampingan terhadap penerima vaksin di United Kingdom (UK).

Khairy menjawab soalan wartawan ketika sidang media di  Institut Penyelidikan dan Teknologi Optoelektronik Nano (INOR) USM. FOTO MIKAIL ONG
Khairy menjawab soalan wartawan ketika sidang media di Institut Penyelidikan dan Teknologi Optoelektronik Nano (INOR) USM. FOTO MIKAIL ONG

"Setakat ini kita belum lagi menerima apa-apa maklumat untuk membuat pendirian yang berbeza daripada apa yang ada sebelum ini.

"Namun demikian sudah pasti apabila berita ini dilaporkan, kita (akan) minta maklumat klinikal supaya Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) boleh buat keputusan sama ada mahu teruskan atau tidak," katanya.

Terdahulu, media United Kingdom (UK) mengenal pasti 30 kes darah beku selepas pengambilan vaksin Covid-19 AstraZaneca.

Agensi Kawal Selia Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian darah beku berpunca daripada pengambilan vaksin keluaran BioNTech dan Pfizer Inc.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 5:11 PM