Dr Mohamed Rafi Feizal dan Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim

Jangkitan Pranatal (Bahagian 2)

Bertemu kita lagi untuk menyambung perbincangan berkenaan jangkitan Pranatal. Minggu lalu, kita menyentuh tentang jangkitan GBS, Cytomegalovirus dan Listeriosis. Kali ini, kita perkatakan pula berkenaan jangkitan Zika, rubela dan cacar air serta implikasinya terhadap ibu hamil serta janin.

1. Zika

Virus Zika yang menyebabkan serangan panik pada 2015 berpunca daripada nyamuk Aedes. Namun, tidak seperti denggi dan chikugunya yang hanya disebar melalui gigitan Aedes, Zika boleh tersebar melalui hubungan kelamin dengan individu yang sudah dijangkiti.

Maka, seorang suami yang menghidap Zika boleh memberi penyakit ini kepada isterinya jika tidak menggunakan perlindungan ketika melakukan hubungan kelamin. Zika tidak tersebar melalui sentuhan biasa.

Adakah benar Zika boleh menyebabkan kecacatan janin? Virus Zika mempertingkatkan risiko bayi dalam kandungan dilahirkan dengan kepala kecil (mikrosefali) atau kecacatan yang lain. Risiko mikrosefali paling tinggi sekiranya jangkitan virus Zika berlaku ketika trimester pertama atau kedua kehamilan.

Tidak semua wanita hamil menghidap Zika akan melahirkan bayi dengan mikrosefali. Saintis masih memlakukan kajian mengapa sesetengah bayi sahaja terjejas.

Simptom Zika:

• Demam

• Ruam

• Gatal-gatal

• Konjunktivitis (mata merah)

• Sakit di belakang mata

• Sakit kepala

• Sakit-sakit otot

• Sakit pinggang

• Sakit sendi atau keradangan

Rawatan dan pencegahan

Seperti denggi, tiada rawatan khusus untuk Zika. Pengambilan paracetamol dan meningkatkan hidrasi boleh meredakan simptom yang disebut tadi.

Pengambilan NSAID seperti ibuprofen dan voltaren tidak digalakkan, malah tidak selamat untuk ibu yang hamil. Secara umumnya, kebanyakan pesakit Zika akan sembuh sendiri.

Bagaimanapun, pencegahan adalah jalan terbaik. Elak mengunjungi lokasi denggi atau pembiakan nyamuk. Guna pakaian yang menutup sebanyak mungkin permukaan kulit bagi mengelakkan gigitan nyamuk.

Ibu-ibu juga boleh menggunakan penghalau serangga, tidur di dalam kelambu dan mengelakkan hubungan kelamin jika pasangan disyaki atau disahkan menghidap Zika.

2. Rubela

Rubela adalah jangkitan yang boleh menyebabkan ruam berwarna kemerah-merahan, bermula di muka sebelum merebak ke bahagian badan yang lain.

Pencegahan

Jika anda tidak pernah mendapat vaksin rubela, cara terbaik ialah mendapatkan vaksinasi berkenaan sekurang-kurangnya sebulan sebelum hamil. Ini dapat memberi masa secukupnya untuk badan membunuh virus yang disuntik, supaya tidak menjangkiti janin.

Sekiranya ujian darah ketika hamil menunjukkan anda tidak imun pada rubela, anda perlu menunggu sehingga selepas melahirkan sebelum vaksinasi boleh diambil. Oleh itu, anda perlu berhati-hati supaya tidak melakukan hubungan dengan orang yang dijangkiti.

Simptom rubela

Sebelum ruam termasuk:

• Demam

• Konjunktivitis (mata merah)

• Nodul limfa yang membengkak (limfadenopati)

Risiko terhadap kandungan:

Apabila bayi dijangkiti virus rubela, bayi boleh mendapat sindrom rubela kongenital (CRS). Antara simptom sindrom ini ialah :

• Katarak dan kecacatan mata yang lain

• Pekak

• Kecacatan jantung

• Kepala yang kecil (mikrosefali)

• Tumbesaran terbantut di dalam rahim (IUGR)

• Kerosakan otak, hati, paru-paru dan sum-sum tulang

Risiko pada janin paling tinggi sekiranya ibu dijangkiti rubela sebelum minggu ke-12 kehamilan (sembilan daripada 10 bayi berisiko). Menjelang minggu ke-17, risiko pada bayi makin menurun, namun masalah pendengaran masih boleh menjejaskan bayi sehingga minggu ke-20.

Malangnya, jika dijangkiti, tiada ubat untuk melindungi bayi. Doktor akan berbincang mengenai ujian yang boleh dilakukan untuk mengetahui kesan rubela terhadap bayi yang dikandung.

3. Cacar air

Cacar air juga dikenali dengan nama jintungan atau bertih (mengikut dialek daerah) adalah disebabkan oleh virus Varicella zoster (kumpulan virus herpes) dan amat mudah berjangkit.

Ia berlaku pada semua peringkat umur, namun jangkitan selalunya lebih teruk bagi orang dewasa. Sebaran virus melalui sentuhan atau titisan cecair badan daripada orang yang dijangkiti, seperti melalui pakaian, tuala dan sebagainya.

Penghidap cacar air boleh menyebarkan virus dalam tempoh 48 jam sebelum ruam timbul dan boleh terus menjangkiti sehingga cacar air mengering dan berkuping.

Cacar air sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kecacatan pada janin. Malangnya, belum ramai sedar perkara ini dan masih membawa anak atau mereka yang dijangkiti ke tempat awam atau hospital di mana ramai wanita mengandung dan mereka yang berimun rendah berada.

Amat penting bagi mereka yang mengalami cacar air untuk menyisihkan diri buat sementara waktu supaya virus tidak tersebar sewenang-wenangnya.

Gejala

• Demam dengan bintik-bintik merah pada kulit. Kawasan yang berbintik merah selalunya bermula di muka, kepala, dada, belakang dan akhirnya ke seluruh tubuh.

• Ruam cacar air akan timbul kurang dua minggu selepas jangkitan.

• Bintik-bintik merah yang baharu akan mula tumbuh dalam beberapa hari dan bilangan boleh mencecah ratusan titik. Ia kemudian membentuk gelembung berisi air. Bila gelembung itu pecah, ia akan mengering dan berkeruping dan akhirnya berparut.

• Gejala lain adalah sakit perut, tiada selera makan, sakit kepala, rasa tidak selesa, letih dan terganggu. Pesakit juga mengalami batuk ringan, hidung berair beberapa hari sebelum bintik-bintik merah timbul.

Pencegahan penyakit

Vaksin cacar air untuk ketahanan sepanjang hayat boleh diambil pada umur 12 hingga 18 bulan. Pemberian bagi bawah umur 13 tahun memerlukan satu dos, lebih 13 tahun (dua dos dengan selang masa empat hingga lapan minggu). Pelalian aktif diberi kepada kanak-kanak berisiko (antara umur satu hingga lima tahun) sekiranya ada ahli keluarga yang dijangkiti cacair air.

Rawatan di rumah

• Sapu losyen calamine

• Ubatan antihistamin (untuk mengurangkan gatal)

• Paracetamol untuk rawatan demam

Rawatan

Acyclovir dan immunoglobulin diguna untuk merawat cacar air. Rawatan adalah lebih berkesan jika diambil segera (immunoglobulin dalam tempoh lima hari selepas bersentuhan dengan orang yang dijangkiti dan acyclovir dalam tempoh 24 jam dijangkiti). Ia akan mengurangkan kemudaratan dan komplikasi akibat cacar air.

Apakah risiko seandainya dijangkiti cacar air ketika hamil?

Cacar air berbahaya buat ibu dan janin jika dijangkiti oleh ibu yang hamil. Ibu hamil boleh mengalami komplikasi berbahaya seperti pneumonia (radang paru-paru). Oleh itu, jangan berlengah memaklumkan doktor jika anda mengalami masalah pernafasan atau simptom baharu ketika menghidap penyakit ini.

Doktor akan mencadangkan anda mengambil acyclovir bagi mengurangkan simptom cacar air dan mempercepatkan tempoh penyembuhan. Namun ini cuma boleh berlaku jika rawatan dimulakan dalam tempoh 24 jam pertama.

Jika anda menghidap cacar air ketika hamil, risiko terhadap janin bergantung pada bila jangkitan berkenaan berlaku. Jika jangkitan berlaku pada awal kehamilan lebih-lebih lagi dari minggu ke-8 hingga ke-20 kehamilan, janin berisiko mendapat sindrom kongenital varicella yang boleh menyebabkan bayi lahir dengan kulit berparut, kecacatan mata, otak, tangan dan kaki serta kecacatan usus.

Jika jangkitan berlaku pada minggu terakhir sebelum bayi lahir hingga 48 jam selepas bayi lahir, bayi boleh mendapat varicella neonatal yang boleh membawa maut.

Semoga artikel ini membawa manfaat buat semua. Jika anda masih ada persoalan, berhubung dengan doktor yang merawat anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 6:00 AM