IBU bapa gembira mendapat perhatian anak.
IBU bapa gembira mendapat perhatian anak.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SEMAKIN berusia ibu bapa, semakin berubah sikap mereka kepada cepat marah, sensitif terhadap teguran, mudah merajuk dan suka menyendiri.

Situasi ini biasa dihadapi anak yang menjaga ibu bapa berusia sehingga membuatkan mereka runsing memikirkan cara terbaik mengelak sebarang konflik.

Jangan biarkan keadaan itu berlarutan dan segera bantu mereka kerana perubahan sikap adalah tanda mengalami masalah kemurungan orang tua yang kurang ketara.

Perunding Perubatan Geriatrik dan Psikiatri Ramsay Sime Darby Health Care, Dr Wan Izwin Najla Wan Hassan berkata, warga emas mempunyai tanda kemurungan yang berbeza dengan orang muda.

Menurutnya, bagi kemurungan lebih serius, lazimnya orang tua hilang selera makan, kerap atau tidak tidur, enggan bercakap dengan orang dan tidak menguruskan diri seperti mandi serta menyalin pakaian.

“Ada juga orang tua menjadi pelupa atau sering berasa bimbang menyebabkan anak menyangka mereka menghadapi masalah nyanyuk atau dementia.

“Oleh itu, sangat penting untuk anak peka dengan perubahan awal yang berlaku kepada ibu bapa mereka.

“Luangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa untuk mendengar luahan atau masalah yang mengganggu fikiran mereka,” katanya.

Beliau berkata, ada kalanya, perubahan itu kerana mereka berasa tersisih, sunyi atau tertekan kerana kehilangan orang tersayang, pekerjaan dan masalah kewangan.

“Sekiranya anak sukar berkomunikasi dengan ibu bapa, mereka boleh merujuk kepada pakar kesihatan untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

“Jika kemurungan itu serius, lebih baik bawa ibu bapa mereka berjumpa pakar,” katanya.

PEMERIKSAAN pakar dapat mengelakkan masalah mental menjadi lebih teruk.
PEMERIKSAAN pakar dapat mengelakkan masalah mental menjadi lebih teruk.

Kajian menunjukkan 25 peratus daripada individu berusia lebih 65 tahun mengalami masalah kemurungan.

Dr Wan Izwin Najla berkata, pemeriksaan awal penting bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan yang betul untuk menghalang sebarang masalah berkaitan mental menjadi lebih teruk.

“Ramai tidak menyedari pentingnya kesihatan mental kerana mereka yang mengalami masalah ini selalunya berhadapan gangguan kehidupan seharian menyamai penyakit fizikal.

“Contoh, kemurungan boleh mengganggu tidur dan tumpuan sekali gus menjejaskan prestasi kerja serta hubungan keluarga,” katanya.

Menurut Dr Wan Izwin Najla, beliau sering menasihati pesakit agar sentiasa aktif pada usia tua kerana ia membantu mengurangkan masalah mental dan meningkatkan daya ingatan.

“Saya juga menggalakkan mereka menyertai aktiviti kelab sosial untuk bertemu rakan dan bergelak ketawa bagi mengurangkan tekanan.

“Rutin mingguan dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah penting untuk penuaan positif kerana dapat membantu mereka menghindari kebimbangan dan kemurungan,” katanya.

BERSOSIAL bersama rakan dapat mengurangkan tekanan warga emas.
BERSOSIAL bersama rakan dapat mengurangkan tekanan warga emas.

Menurut Dr Wan Izwin Najla, penuaan positif ialah kesejahteraan positif, kesihatan fizikal, sosial dan mental yang baik serta pembabitan berterusan dalam keluarga, kumpulan rakan sebaya serta masyarakat sepanjang proses penuaan.

Jelasnya, ia dapat dicapai menerusi penyertaan aktif dalam aktiviti yang mencabar fizikal dan mental serta pembabitan aktiviti kemasyarakatan.

Dr Wan Izwin Najla berkata, kesedaran kadar peningkatan orang tua di negara ini meningkat, tetapi di Malaysia masih kekurangan pakar dalam bidang geriatrik (penyakit dalam kalangan orang tua, rawatan dan penjagaan kesihatan mereka).

“Malaysia kekurangan kira-kira 600 pakar geriatrik bagi menampung bilangan pesakit warga emas yang kian meningkat.

“Ketika ini, hanya ada 36 pakar bidang itu di seluruh negara,” katanya.

Pada 2019, jumlah penduduk negara berusia 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 2.23 juta berbanding 2.14 juta pada 2018 dan dijangka terus meningkat kepada 15 peratus pada 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:30 AM