AKTIVITI riadah sesuai untuk warga emas.
AKTIVITI riadah sesuai untuk warga emas.
Nurul Husna Mahmud


Definisi warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Takrifan berkenaan dibuat berpandukan kepada definasi di 'World Assembly On Ageing 1982' di Vienna.

Menurut unjuran Jabatan Statistik Malaysia (JSM), pada 2030 kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara ini berusia melebihi 60 dan pada 2022, kira-kira 11.1 peratus atau 3.6 juta penduduk pula melebihi usia 60.

Berdasarkan kepada data terbabit, terdapat keperluan mewujudkan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih kondusif bagi memastikan kesejahteraan golongan itu.

Baru-baru ini sempena Hari Warga Emas Sedunia diraikan pada 21 Ogos setiap tahun, Pacific Senior Living (PSL) tidak ketinggalan melancarkan kerjasama dengan Columbia Asia dalam usaha meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan warga emas di pusatnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pacific Senior Living Sdn Bhd Carl Nicholas Isaac, kerjasama dengan pusat perubatan swasta itu menunjukkan inisiatif pihaknya terus meningkatkan kualiti khidmat dalam penjagaan kesihatan lebih holistik.

"PSL dengan penyedia penjagaan kesihatan terkemuka, Columbia Asia, sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan warga emas di pusat penjagaan kami.

"PSL adalah konsep kediaman yang dilengkapi kemudahan sesuai dengan keperluan warga emas bagi kelangsungan mereka menjalani kehidupan berdikari dengan selesa.

"Kerjasama dengan pusat perubatan swasta itu berjaya menetapkan standard baharu untuk konsep penjagaan dan memperkasakan warga emas.

"Ia dicapai menerusi akses kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan perubatan, selain memastikan kesejahteraan serta ketenangan minda warga emas terbabit," katanya.

PEMERIKSAAN tekanan darah tinggi.
PEMERIKSAAN tekanan darah tinggi.

Serentak dengan pelancaran jalinan kerjasama itu turut dianjurkan kempen Hari Warga Emas di Starling Mall dalam usaha mendidik masyarakat mengenai kehidupan warga emas lebih sejahtera.

Penasihat Perubatan Pacific Senior Living Sdn Bhd, Dr Ramnan Jeyasingam berkata, penjagaan holistik melangkaui kesihatan fizikal.

"Dedikasi kami adalah untuk meningkatkan taraf penjagaan warga emas dengan memberi tumpuan menyediakan penjagaan kesihatan warga emas yang komprehensif dan boleh diakses dengan kualiti tertinggi.

"Ketika kami memulakan usaha ini, kami memberi fokus memahami kepentingan penjagaan kehidupan yang bersepadu.

Ia mengutamakan bukan sahaja kesihatan fizikal tetapi juga kesejahteraan holistik.

"Kemudahan yang kami telah bina adalah dengan teliti selaras dengan matlamat Pacific Senior Living supaya warganya menikmati 'Joyous Living' dalam meniti peningkatan usia.

"Kami juga menawarkan persekitaran yang mampu memupuk dan menyokong warga emas yang tinggal di sini untuk menerima fasa kehidupan seterusnya dengan lebih bertenaga dan berkualiti," katanya.

Pada program sama, pelbagai aktiviti disediakan dalam membantu orang memahami gaya hidup warga emas yang sihat.

Antaranya, semakan tekanan darah dan pemeriksaan BMI secara percuma dalam membantu menekankan aspek penjagaan kesihatan diri.

PENERANGAN staf PSL kepada pengunjung program.
PENERANGAN staf PSL kepada pengunjung program.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 6:44 AM