KEGAGALAN pankreas berfungsi secara normal menyebabkan Diabetes melitus.
KEGAGALAN pankreas berfungsi secara normal menyebabkan Diabetes melitus.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KAJIAN yang dijalankan mendapati jutaan rakyat Malaysia yang menghidap Diabetes Mellitus Jenis 2 (T2DM).

Penyakit Diabetes mellitus terjadi disebabkan kegagalan pankreas berfungsi secara normal sekali gus mengakibatkan lambakan gula di dalam saluran darah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, diabetes memberikan impak negatif pada kualiti hidup dan kos penjagaan kesihatan.

"Ia juga meningkatkan masalah ekonomi pada individu, keluarga dan masyarakat serta menjejaskan produktiviti negara.

"Oleh itu, pengawalan diabetes dan pengurangan komplikasi berkaitan melalui pendekatan secara menyeluruh dan pembabitan aktif pesakit, serta sokongan pendidikan diabetes yang bersesuaian, perubahan gaya hidup dan rawatan farmakologi, adalah penting," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Panduan Amalan Klinikal (CPG) untuk Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2 edisi keenam secara maya baru-baru ini.

SENTIASA amalkan pemakanan sihat.
SENTIASA amalkan pemakanan sihat.

Menurutnya, pembangunan dalam inovasi perubatan, teknologi dan pembaharuan pendekatan dalam intervensi gaya hidup sejak lima tahun lalu memberi harapan baru dalam menguruskan penyakit kronik ini secara efektif.

"Semua kemajuan perubatan ini disenaraikan di dalam CPG edisi keenam bagi Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2 yang dihasilkan dengan kerjasama 69 pakar perubatan di bawah naungan Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Akademi Perubatan Malaysia, Diabetes Malaysia, dan Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia,"katanya.

TAN Sri Dr Noor Hisham
TAN Sri Dr Noor Hisham

Mengulas lanjut, CPG adalah sumber berharga bagi ahli profesional kesihatan dalam memberikan penjagaan yang terbaik kepada pesakit bermula dari pencegahan sehingga rawatan komplikasi.

"Ahli profesional kesihatan juga perlu menggunakan teknologi dan inovasi serta menyedari potensi penggunaan aplikasi telefon mudah alih, lain-lain kemajuan teknologi, dan tele-perubatan dalam memperbaiki pengurusan diri diabetes," katanya.

Sementara itu, Presiden MEMS, Profesor Dr Chan Siew Pheng berkata, individu yang didiagnosis mengalami T2DM kurang dari tiga tahun boleh menerbalikkan penyakit diabetes mereka dengan penurunan dan pengekalan berat badan sebanyak 15 peratus.

"Penurunan berat badan ini dapat dilakukan melalui bantuan produk penggantian makanan, diet rendah kalori atau pembedahan bariatrik dan senaman yang berterusan.

"Ia sekali gus dapat mengatasi penyakit hati berlemak bukan alkohol yang jika dibiarkan, boleh menyebabkan parut pada hati dan kanser hati,"katanya.

Jelasnya, CPG juga menyediakan panduan dalam menguruskan penyakit atau jangkitan akut.

"Individu dengan diabetes lebih berkemungkinan mengalami jangkitan Covid-19 yang teruk dan mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi berbanding individu tanpa diabetes.

"Sekiranya individu itu juga mempunyai penyakit kronik yang lain, risiko tahap keterukan jangkitan Covid-19 juga akan meningkat sebanyak dua hingga tiga kali ganda.

"Oleh itu, langkah terbaik adalah mengawal tahap gula dalam darah, tekanan darah dan paras kolesterol dengan baik, di samping mengambil setiap langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada dijangkiti Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 7:00 AM