MEMAKAI kasut yang sempit boleh merosakkan tumit kaki. FOTO NSTP
MEMAKAI kasut yang sempit boleh merosakkan tumit kaki. FOTO NSTP
Hafiz Ithnin


BIASANYA jenis lantai yang dipijak sering dipersalahkan apabila seseorang itu mengalami masalah tumit merekah. Malah, ada juga yang menganggap masalah tumit merekah hanya berlaku kepada individu yang sudah berusia dan apabila dialami oleh golongan muda, mereka dilihat tua sebelum waktunya.

Namun, adakah rekahan pada tumit itu perkara biasa? Apakah ada penyakit yang menyebabkannya? Adakah ia boleh memberi kesan buruk atau sekadar menjejaskan penampilan?

Menjelaskan mengenai persoalan ini, Dr Khairul Idzham Abdul Khalid berkata, masalah kulit di tapak kaki terutama di tumit boleh berlaku kepada lelaki dan wanita tanpa mengira usia.

Tambahnya, bagi mereka yang tidak mempunyai penyakit kronik seperti diabetes atau ekzema, punca utama berlaku tumit merekah disebabkan kekurangan air dalam badan.

“Antara fungsi air dalam badan manusia adalah untuk melembapkan permukaan kulit. Kulit kaki yang kering memudahkan terjadinya rekahan di tapak kaki terutama tumit.

“Lantai bukan punca utama terjadinya masalah tumit merekah namun bekerja terlalu lama di permukaan lantai yang panas tanpa sebarang alas kaki, stoking atau kasut boleh mendorong berlaku rekahan pada tumit,” katanya.

Dr Khairul berkata, ini kerana permukaan lantai yang panas boleh menyebabkan kulit kaki menjadi kering dan mudah merekah. Rekahan pada tapak kaki bukanlah petanda atau ciri khas kepada mana-mana penyakit kronik. Cuma bagi mereka yang menghidap penyakit diabetes masalah rekahan ini boleh menjadi lebih serius.

“Rekahan tapak kaki termasuk tumit pada pesakit diabetes harus dirawat dengan serius kerana boleh menyebabkan komplikasi atau tanda awal kepada ulser kaki.

“Walaupun masalah ini secara dasarnya tidak membahayakan, namun ia harus diberikan perhatian serius khususnya dalam beberapa kes apatah lagi pada pesakit diabetes yang tidak terkawal,” katanya.

Tambahnya, faktor umur juga menjadi antara sebab mudahnya terjadi masalah tapak kaki merekah. Peningkatan umur menyebabkan kulit kaki kehilangan keupayaan mengekalkan kelembapannya.

“Bagaimanapun masalah ini tetap boleh juga terjadi kepada golongan muda jika badan mereka juga mengalami dehidrasi atau kekurangan air. Kulit kaki yang normal mempunyai satu lapisan yang mengawal kelembapan kulit. Lapisan ini penting untuk menjadikan kulit kaki lembut dan cantik,” katanya.

MEMAKAI losyen atau krim kulit boleh melindungi tumit daripada kering. FOTO NSTP
MEMAKAI losyen atau krim kulit boleh melindungi tumit daripada kering. FOTO NSTP

Sekiranya mengalami masalah tumit merekah, langkah pencegahan yang berkesan adalah memakai atau menyapu losen pelembap pada permukaan kulit yang kering. Mungkin kerana kedudukannya yang selalu terlindung, maka kulit kaki jarang diberi perhatian. Namun, hakikatnya ia juga perlu sentiasa dijaga kebersihannya dan diberikan rawatan kecantikan dengan menyapukan losen pelembap.

“Selain itu, cuba elakkan memakai kasut yang terlalu ketat atau yang tidak selesa. Memakai kasut yang terbuka juga akan mendedahkan kaki kita kepada cuaca yang panas juga menyebabkan kaki mudah kering dan merekah.

“Gunakan sabun yang sesuai dan bersifat lembut untuk membersihkan kaki. Menggunakan sabun yang mengeringkan kulit akan menyebabkan masalah ini semakin susah untuk dirawat.

“Paling penting adalah memastikan badan kita mendapat air secukupnya supaya ia boleh berfungsi dengan baik sekali gus menjaga kelembapan kulit termasuk di tapak kaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:10 AM