KEADAAN kaki kanak-kanak yang diserang JPD.
KEADAAN kaki kanak-kanak yang diserang JPD.
Oleh Zaitie Satibi

Mungkin ada segelintir ibu bapa menyedari kaki anak mereka terutama di bahagian tapak kaki terkena alahan dengan simptom kemerahan, kering dan bersisik. Tanda-tanda berkenaan timbul selepas anak berkenaan memakai kasut menyebabkan si kecil tidak selesa kerana kesakitan apabila kulit yang terjejas itu kemudian mengelupas terutama pada ibu jari kaki.

Masalah kulit pada kaki kanak-kanak itu dikenali sebagi juvenile plantar dermatosis (JPD) dan biasa menyerang pada kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga 14 tahun. Namun, masalah pada kulit kaki ini juga lebih kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki berusia empat hingga lapan tahun.

Ia juga berlaku pada anak-kanak yang mempunyai masalah dermatitis atopik (ekzema), lelah atau alahan hidung (allergic rhinitis) berikutan kulit mereka secara keseluruhannya lebih sensitif berbanding kulit biasa.

Penyakit kulit ini menjadi lebih buruk ketika cuaca panas kerana keadaan yang lembap (akibat perpeluhan) dan kering dalam kasut berulang-ulang.

Disebabkan simptom JPD yang menyerupai masalah kulit lain, penyakit ini sering disangka masalah kulit biasa seperti jangkitan kulat, psoriasis, dermatitis sentuhan, dermatitis atopik dan kulit mengelupas dalam kalangan orang dewasa dikenali keratolysis exfoliativa. Oleh itu, ibu bapa yang tidak merujuk kepada doktor mungkin memberikan rawatan ubatan yang salah.

Perunding Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Leong Kin Fon berkata, punca bagi masalah kulit ini masih tidak diketahui tetapi ia dikaitkan dengan geseran kaki di dalam kasut ketika bergerak dan keadaan kaki yang berpeluh.

“Kes biasanya ditemui pada kanak-kanak yang baru mula belajar memakai kasut apabila kulit kaki mereka bergeser dengan material dalam kasut. Malah, kaki mereka juga mungkin sensitif pada bahan kimia yang digunakan untuk pembuatan material kasut terbabit.

“Kaki yang berpeluh juga menyebabkan lembapan dalam kasut sebelum ia kering sendiri. Keadaan dalam kasut yang sekejap lembap dan sekejap kering memburukkan lagi masalah ini,” katanya.

Penyakit kulit ini mengambil masa yang lama untuk sembuh dan bagi masalah yang kronik mungkin sampai bertahun-tahun. Namun, JPD dikatakan pulih sendiri selepas kanak-kanak mencapai akil baligh.

“Bagi melegakan kesakitan atau rasa yang tidak selesa, masalah kulit ini boleh dirawat dengan mengurangkan geseran antara kaki dan kasut. Ibu bapa boleh memakaikan anak dengan kasut yang mempunyai pengaliran udara yang baik dan stoking kapas yang menyerap peluh. Elakkan memakai kasut daripada bahan sintetik yang boleh menyebabkan alahan dan tukar stoking yang lembap.

“Sapu pelembap dan krim pada kaki anak dengan kerap pada waktu siang dan malam, namun perlu dapatkan nasihat doktor terlebih dulu mengenai sapuan yang sesuai. Balut kulit kaki yang merekah bagi melegakan kesakitan akibat kulit yang mengelupas,” katanya.

Dr Leong berkata, sapuan mengandungi steroid topikal mungkin boleh digunakan tetapi pada waktu tertentu iaitu penyakit semakin serius apabila kulit kaki semakin merah dan gatal-gatal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:00 AM