BARISAN panel perubatan Hospital Serdang yang menjayakan kem.
BARISAN panel perubatan Hospital Serdang yang menjayakan kem.
Zaitie Satibi


LEBIH 26 juta orang dilaporkan mengalami kegagalan jantung di seluruh dunia dan penyakit itu mencatatkan kadar morbiditi serta kematian yang tinggi.

Meskipun kegagalan jantung boleh dialami oleh sesiapa pada sebarang usia, namun kes kegagalan jantung di Asia Tenggara berlaku pada pesakit berusia lebih muda berbanding di Barat.

Kegagalan jantung di rantau ini mempunyai ciri-ciri klinikal lebih teruk dengan faktor risiko vaskular seperti hipertensi atau tekanan darah tinggi, obesiti dan diabetes.

Pesakit mengalami kegagalan jantung di Asia dikatakan sekurang-kurangnya satu dekad lebih muda daripada pesakit Eropah.

Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini di negara kita.

Malah, dilaporkan kes kegagalan jantung punca utama kemasukan ke hospital dan membentuk enam hingga 10 peratus daripada semua kemasukan perubatan dengan kematian seorang dalam 10 pesakit di hospital.

Lebih buruk, kegagalan jantung boleh melumpuhkan kehidupan pesakit kerana lazimnya mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai penyakit ini dan cara menguruskan penyakit dengan sewajarnya. Oleh itu, adalah amat penting untuk memperkasakan pesakit.

Sehubungan itu, Jabatan Kardiologi, Hospital Serdang dengan kerjasama Novartis Malaysia menganjurkan Kem Kegagalan Jantung memberi tumpuan kepada usaha mendidik pesakit dan penjaga mereka mengenai kegagalan jantung serta cara menambah baik pengurusannya menerusi ceramah, sesi perkongsian pengetahuan dan aktiviti yang praktikal.

Ketua Jabatan Kardiologi hospital berkenaan, Datuk Dr Abdul Kahar Abdul Ghapar berkata, kem pertama kali dianjurkan itu membawakan sesi perkongsian pengetahuan, kefahaman dan pengalaman dalam kehidupan harian pesakit kegagalan jantung serta bagaimana pesakit boleh belajar menguruskan keadaan mereka.

“Kem ini sebagai satu platform menangani kebimbangan yang semakin meningkat terhadap gejala kegagalan jantung di Malaysia.

JANTUNG normal dan jantung membengkak.
JANTUNG normal dan jantung membengkak.

“Memandangkan semakin ramai rakyat disahkan mengalami penyakit ini dan beban ekonomi dibawa oleh penyakit ini ke atas pesakit, sistem penjagaan kesihatan tempatan serta masyarakat secara keseluruhan.

“Terdapat keperluan mendesak untuk memperkasakan pesakit kegagalan jantung dan penjaga mereka dengan pengetahuan serta kefahaman yang sewajarnya berkaitan penyakit ini supaya mereka boleh hidup lebih lama dan dengan lebih baik lagi.

“Seramai 40 peserta menghadiri kem ini berpeluang menyertai sesi perbincangan mengenai diet yang sewajarnya untuk pesakit kegagalan jantung dan belajar pelbagai senaman ringkas yang boleh dilakukan di rumah,” katanya.

Dalam kem berkenaan, peserta mengikuti sesi dialog terbuka mengenai kegagalan jantung dengan panel doktor seperti Pakar Perubatan dan Perunding Kardiologi, Dr Abdul Muizz Abdul Malek; Pegawai Farmasi, Dr Wardati Mazlan Kepli dan Pakar Rehabilitasi, Dr Saari Mohamad Yatim.

Penjelasan daripada panel pakar menunjukkan keperluan menguruskan kegagalan jantung secara holistik menerusi satu pendekatan berbilang disiplin untuk membantu menguruskan penyakit, menambah baik keadaan pesakit dan memastikan penjagaan pesakit secara menyeluruh.

“Kami gembira dapat menganjurkan kem ini yang menghimpunkan pesakit, penjaga dan pakar penjagaan kesihatan dari pelbagai bidang untuk membantu pesakit memahami penyakit ini dan menjaga kesihatan jantung mereka dengan lebih baik lagi.

“Kami juga terharu melihat begitu ramai penjaga yang hadir untuk menyokong mereka yang tersayang.

“Sesungguhnya mereka adalah tunggak sokongan yang penting dalam usaha membantu pesakit menguruskan kegagalan jantung mereka dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu dalam satu sesi perkongsian, Dr Abdul Muizz berkata, kegagalan jantung merujuk kepada keadaan jantung yang tidak boleh mengepam darah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tubuh badan.

Bagaimanapun, ramai orang salah faham dan menyangka jantung tidak lagi dapat berfungsi bila seseorang mengalami kegagalan jantung.

“Terdapat beberapa simptom kegagalan jantung, namun sesak nafas, buku lali bengkak dan kelesuan menjadi simptom yang paling umum.

“Di Malaysia, penyakit arteri koronari dan hipertensi dikenal pasti punca utama kegagalan jantung dan membentuk hampir 70 peratus daripada semua kes.

“Meskipun pencegahan dan intervensi awal penting, langkah lain seperti memberi kaunseling kepada pesakit dan anggota keluarga mereka mengenai kegagalan jantung, mengawal diet dan pengambilan air, senaman dan perubahan gaya hidup seperti kepatuhan mengambil ubat, tidak merokok dan tidak mengambil alkohol juga penting untuk menguruskan penyakit ini.

“Memang menakutkan jika kita didiagnos mengalami kegagalan jantung, tetapi dengan kemajuan perubatan dan teknologi serta perubahan kepada gaya hidup yang sihat dan sokongan keluarga, pesakit boleh menjalani hidup yang sihat dan normal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 5:30 AM