DARI kiri, Dr David, Susanne, Dr Aizai dan Dr Azmee bersama penyelesaian terbaru kegagalan jantung.
DARI kiri, Dr David, Susanne, Dr Aizai dan Dr Azmee bersama penyelesaian terbaru kegagalan jantung.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Kegagalan jantung, keadaan apabila ia jantung menjadi lemah adalah situasi yang kurang mendapat perhatian masyarakat umum namun ia menyumbang sejumlah enam peratus hingga 10 peratus daripada punca kemasukan ke hospital akibat serangan yang teruk di Malaysia.

Di sebalik bilangan kes yang semakin meningkat, kurang satu daripada 10 orang boleh mengenal pasti tiga simptom utama kegagalan jantung, termasuk sesak nafas yang teruk, bengkak pergelangan kaki, peningkatan berat badan secara mendadak dan kesukaran untuk bergerak.

Statistik menunjukkan sejumlah 76 peratus daripada pesakit terpaksa bergelut untuk melaksanakan aktiviti seharian selepas menjalani diagnosis.

Penyakit yang melumpuhkan ini sering dianggap sebagai keadaan apabila jantung seseorang berhenti berfungsi. Namun realitinya, kegagalan jantung ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang berpotensi mengancam nyawa apabila jantung tidak berupaya mengepam jumlah darah yang mencukupi ke seluruh badan kerana otot jantung menjadi semakin lemah.

Akibatnya, pesakit sering lemah dan lesu hinggakan tugasan harian yang mudah seperti menaiki tangga pun boleh menjadi sesuatu yang hampir mustahil.

Di peringkat global, kegagalan jantung membebankan dunia dengan kos RM450 bilion setiap tahun. Bebanan ekonomi sedemikian bukan saja mengakibatkan tekanan tinggi kepada pesakit, malah turut membebankan mereka yang menjaga pesakit.

Dengan kadar kemasukan semula ke hospital yang tinggi dan sentiasa berulang, pesakit terpaksa menghadapi bebanan menjangkau lebih daripada kos perubatan semata-mata.

Memahami jurang permasalahan ini, Institut Jantung Negara (IJN) dan Novartis Corporation baru-baru ini melaksanakan inisiatif kempen kesedaran kegagalan jantung bertema Keep It Pumping yang menyasarkan untuk menjana kesedaran secara besar-besaran mengenai permasalahan kegagalan jantung. Ia turut menumpukan kepada usaha utama membantu pesakit yang mengalami kegagalan jantung untuk menangani penyakit mereka.

Perunding Kardiologi Kanan IJN Datuk Dr David Chew Soon Ping berkata, memahami cabaran yang dihadapi, IJN menubuhkan program penjagaan bagi pesakit yang mengalami kegagalan jantung di institut itu.

Katanya, program yang diterajui oleh sekumpulan pakar kardiologi dan jururawat khas ini akan mengasaskan rangkaian kolaborasi dengan jabatan lain dengan matlamat untuk membantu pesakit mengurangkan jangka masa mereka berada di hospital, menguruskan kemasukan semula yang tidak dirancang dan membantu mempertingkatkan kualiti kehidupan pesakit.

Turut hadir, Perunding Kardiologi IJN Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi dan Ketua Francais, Kardio- Metabolik dan Pernafasan, Novartis Malaysia Susanne Gruber.

Pelancaran kempen Keep it Pumping turut menandakan pengenalan Entresto di pasaran, ubat pertama dalam kelasnya yang berupaya mengurangkan tekanan akibat keadaan jantung semakin lemah.

Diambil dua kali setiap hari, Entresto terbukti mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan kardiovaskular sebanyak 20 peratus dan kadar kemasukan ke hospital akibat kegagalan jantung 21 peratus yang dicatatkan melalui kajian mendalam berbanding enalapril, kaedah penjagaan standard bagi merawat kegagalan jantung.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kardiologi dan Perunding Kanan Kardiologi IJN Datuk Dr Aizai Azan Abd Rahim berkata, hasil keputusan kajian (Paradigm-HF) yang memberangsangkan terhadap kelebihan peningkatan tahap jangka hayat yang dipamerkan oleh Entresto memberikan pakar kardiologi suatu pilihan yang akan membolehkan mereka menawarkan kualiti penjagaan yang lebih baik kepada pesakit yang mengalami kegagalan jantung sekali gus dijangka dapat mengubah kaedah pengurusan kegagalan jantung di masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 11:54 AM