STENT berupa spring bersaiz mikro.
STENT berupa spring bersaiz mikro.
Nurul Husna Mahmud


SEWAKTU berbaring atau tidur di tengah malam, pernahkah anda mengalami sesak nafas dan disusuli rasa sakit atau dihimpit di bahagian dada?

Disebabkan masalah itu, anda terpaksa meninggikan bantal sehingga dua atau tiga tingkat bagi membantu untuk tidur lena pada waktu malam.

Keadaan itu boleh menjadi lebih ekstrem apabila terpaksa tidur dalam posisi duduk.

Jika pernah mengalaminya, segera rujuk kepada pakar kardiologi kerana kemungkinan ia ada kaitan dengan masalah kegagalan fungsi jantung.

Menurut Pakar Kardiologi Cardiac Vaskular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) Dr Al Fazir Omar, meskipun sesak nafas boleh menjadi gejala bagi pelbagai jenis penyakit lain terutama membabitkan peparu dan hati, ia masih menjadi 'petanda' serius untuk masalah jantung.

"Pengalaman pesakit jantung yang mengalami sesak nafas dengan pesakit lain seperti pesakit asma ataupun mereka yang menghidapi 'pulmonari obstruktif kronik' (COPD) mungkin bertindih atau sukar dibezakan.

"Namun terdapat ciri tertentu dalam gejala sesak nafas yang mengaitkan ia dengan masalah kegagalan fungsi jantung. Contoh, individu yang sesak nafas kerana asma merujuk kepada reaksi mereka yang alah kepada perkara tertentu.

"Bunyi seperti wisel (wheezing) atau batuk, adalah tanda sesak nafas itu daripada masalah asma. Ia berlaku kerana jangkitan atau saluran pernafasan menjadi sempit.

"Berbeza dengan mereka yang ada masalah jantung, sesak nafas biasanya disusuli rasa sakit dada dan kerap berlaku apabila mereka melakukan aktiviti harian.

KLIP Mitra teknologi terkini dalam merawat jantung.
KLIP Mitra teknologi terkini dalam merawat jantung.

"Satu contoh kes dialami seorang pesakit, dia mengadu rasa penat lebih daripada biasa ketika berbasikal di trek mendaki. Sebelum ini dia tidak pernah mengalami masalah berkenaan untuk aktiviti yang sama. Setelah diperiksa, saluran darah sudah tersumbat 90 peratus dan memerlukan rawatan segera," katanya.

Kata Dr Al Fazir, dalam kebanyakan kes, pesakit mengalami sesak nafas akibat kegagalan jantung berpunca daripada arteri sempit dan tersumbat.

"Biasanya mereka mengalami gejala sesak nafas akibat kegagalan fungsi jantung apabila saluran darah yang mengangkut oksigen ke jantung menjadi sempit atau tersumbat berpunca daripada pemendapan lemak di bahagian terbabit.

"Kesan daripada saluran koronari yang sempit atau tersumbat ini menyebabkan jantung sendiri tidak dapat bekalan oksigen mencukupi dan menjadi punca individu sukar bernafas.

"Faktor lain menyebabkan individu mengalami sesak nafas adalah otot jantung sedia dalam keadaan lemah. Jantung itu sendiri berperanan sebagai otot tidak dapat mengepam darah ke luar atau ke bahagian tubuh lain dengan baik.

"Implikasi daripada keadaan jantung yang tidak dapat mengepam darah dengan baik turut mengundang kepada masalah lain termasuk air masuk ke dalam peparu dan kaki bengkak," katanya.

Kata beliau lagi, penting bagi pesakit yang mengalami gejala sesak nafas menjalankan ujian lanjut bagi meneliti punca sebenar penyakit mereka.

DR AL FAZIR menyifatkan sesak nafas juga gejala kegagalan fungsi jantung.
DR AL FAZIR menyifatkan sesak nafas juga gejala kegagalan fungsi jantung.

"Bagi individu yang mengalami sesak nafas dan mengesyaki ia berpunca daripada masalah jantung, boleh lakukan penilaian kendiri.

"Dalam kes pesakit yang mengalami sesak nafas disusuli gejala kaki bengkak, mereka boleh lakukan ujian edema lekuk (pitting edema). Ujian terbabit merujuk kesan lekuk yang tertinggal beberapa minit selepas bahagian kaki bengkak dipicit.

"Bagi saringan di hospital, pesakit terbabit akan menjalani beberapa siri ujian, antaranya ekokardiogram atau elektrokardiogram (ECG) untuk mengenal pasti sama ada jantung mereka berdegup normal atau lemah selain ujian darah (cardiac marker) dan saringan berkaitan," katanya.

Rawatan bagi masalah arteri tersumbat atau sempit, kata Dr Al Fazir, boleh diatasi dengan prosedur rawatan angioplasti dan stenting.

"Dalam kaedah angioplasti, doktor akan memasukkan stent menerusi tiub nipis melalui arteri bahagian kaki atau tangan untuk sampai ke arteri yang tersumbat atau sempit.

"Stent yang menyerupai spring bersaiz mikro ini akan membuka saluran yang tersumbat. Kebiasaannya, seminggu selepas pesakit menjalani prosedur rawatan ini, mereka boleh meneruskan rutin harian aktif seperti biasa," katanya.

Selain faktor arteri tersumbat, masalah injap jantung bocor juga menyebabkan pesakit jantung mengalami gejala sesak nafas.

"Apabila injap jantung bocor dan tidak dapat berfungsi dengan baik, ini mengakibatkan darah mengalir ke belakang. Pesakit mungkin mengalami simptom sukar bernafas, penat, denyutan jantung tidak seragam dan bengkak kaki.

"Sukarnya, tiada lagi rawatan jenis ubat dapat merawat dan hanya boleh dikendalikan menerusi pembedahan dan kaedah konvensional biasanya melalui pembedahan terbuka (open surgery)," katanya.

Namun inovasi terkini iaitu penggunaan klip khas dipanggil 'Mitral Clip' (Klip Mitra) dikatakan menjadi harapan baharu bagi pesakit jantung yang mengalami kebocoran injap.

"Tidak semua pesakit boleh melalui kaedah pembedahan terbuka untuk membaiki masalah injap jantung mereka. Bagi kes sedemikian, terdapat pilihan untuk membaiki injap mitral yang bocor dengan pilihan Mitral Clip.

"Kebiasaan pesakit yang menjalani prosedur rawatan ini pulih dengan lebih cepat dan kualiti kesihatan mereka menjadi lebih baik.

"Prosedur ini juga hanya membabitkan 'belahan' kecil pada saluran darah di bahagian kaki sebagai bukaan untuk memasukkan klip menggunakan peralatan khas. Prosedur ini dikendalikan sekurang-kurangnya dua doktor pakar menerusi sistem kendalian luar.

"Pada saya, mesej penting ialah orang ramai terutama yang begitu takut untuk menjalani saringan terutama mereka yang pernah mengalami gejala seperti sesak nafas atau bengkak kaki, tidak perlu bimbang dengan diagnos penyakit mereka.

"Bukan sahaja teknologi malah ubat-ubatan juga sudah bertambah baik, ia dapat membantu mereka pulih daripada penyakit. Jadi saringan awal penting selain menjalani ujian

berkala terutama bagi mereka yang berisiko tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 6:30 AM