Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Lebih 70 peratus daripada kira-kira 10,000 pesakit kegagalan jantung mempunyai tekanan darah tinggi.

Perunding Kanan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Azhari Rosman berkata, dapatan berkenaan diambil berdasarkan pesakit yang berdaftar dengan IJN dua tahun lalu.

"Dalam 8,000 hingga 10,000 pesakit kegagalan jantung berdaftar dengan IJN dua tahun lalu, lebih 70 peratus daripada mereka ada tekanan darah tinggi dan keduanya kencing manis.

"Sebenarnya darah tinggi menyebabkan dinding jantung semakin tebal yang menyebabkan darah tak boleh masuk mengepam dengan sempurna.

"Keadaan ini juga menyebabkan tidak cukup oksigen yang membawa kepada serangan jantung, kerosakan otot dan jantung semakin membengkak akhirnya individu itu mengalami kegagalan jantung," katanya selepas Kongres Saintifik Tahunan Persatuan Hypertensi Malaysia (MSH) 2023, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan yang dihadiri pelbagai profesional penjagaan kesihatan seperti pegawai perubatan, pakar jantung, dalaman serta pemakanan, ahli farmasi dan jururawat itu disempurnakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

 Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melakukan gimik perasmian ketika majlis perasmian Kongres Sains Tahunan Masyarakat Hipertensi Malaysia 2023 di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melakukan gimik perasmian ketika majlis perasmian Kongres Sains Tahunan Masyarakat Hipertensi Malaysia 2023 di Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Beliau yang juga Naib Presiden MSH berkata, data MSH juga menunjukkan kira-kira 30 peratus daripada 1,500 individu yang disaring MSH sempena Hari Hipertensi Sedunia pada 17 Mei lalu mempunyai tekanan darah tinggi.

"Hampir separuh daripada 30 peratus yang dikesan ada tekanan darah tinggi itu, tidak tahu menghidap penyakit itu.

"Darah tinggi penyakit serius dan pembunuh senyap kerana bukan hanya penyumbang kepada masalah jantung, individu yang mengalami tekanan darah tinggi juga boleh menghidap strok.

"Memang apabila dapat penyakit ini kebanyakannya tidak boleh pulih tetapi masih boleh kawal dengan pengambilan ubat, namun jika pesakit berhenti makan ubat, tekanan darah tinggi semakin serius serta kesannya menyebabkan penyakit lain seperti kegagalan buah pinggang," katanya.

Penting katanya, pemeriksaan kesihatan berkala dilakukan serta amalan gaya hidup sihat diamalkan bagi pengawalan dan pencegahan penyakit lebih serius.

"Selepas usia 30 tahun, perlu melakukan pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setahun manakala bagi mereka yang mempunyai sejarah penyakit, perokok atau kegemukan, perlu enam bulan sekali.

"Selain itu, masyarakat juga disarankan melakukan senaman 30 minit sehari atau kalau dapat sekali dalam seminggu pun okay serta amalan pemakanan sihat termasuk kawal pengambilan garam kepada 5 gram sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 4:59 PM