STRUKTUR DNA diuji.
STRUKTUR DNA diuji.
Nurul Husna Mahmud


MENURUT statistik Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2016, kanser adalah punca kematian ketiga tertinggi di hospital kerajaan di negara ini.

Varian penyakit itu juga pelbagai. Untuk lelaki ia didahului oleh kanser usus (16.4 peratus), diikuti kanser paru-paru (15.8 peratus) dan kanser belakang hidung (8.1 peratus).

Manakala bagi wanita, kanser payudara mencatat angka peratusan tertinggi dengan 32.1 peratus berbanding kanser lain termasuk kanser kolorektum (10.7 peratus) dan kanser serviks (7.7 peratus).

Impak kanser sangat besar apatah lagi mengambil kira populasi penduduk Asia dan dunia di mana kajian merekodkan hampir 100 jenis kanser yang berlainan dikesan sehingga kini dan dijangka kes meningkat hingga 70 peratus menjelang 20 tahun lagi.

Dalam kata lain, Asia menanggung separuh daripada beban kanser dunia. Dianggarkan kes kanser di Asia akan mencecah 10.6 juta pada 2030.

Meskipun ketika ini tiada maklumat dapat menerangkan bagaimana sel kanser ini boleh berkembang hingga menyebabkan kualiti kesihatan penghidapnya terjejas, namun kewujudan agen karsinogen yang menjadi punca kepada pertumbuhan sel tidak normal sudah dikenal pasti termasuk dalam makanan, barang kegunaan harian mahupun persekitaran tertentu.

Pun begitu, kanser tidak mengenal mangsa. Ada kala individu yang mengamalkan gaya hidup sihat juga tidak terkecuali menghidapi risiko kanser disebabkan karakter penyakit terbabit yang boleh berkembang dan bermutasi mengikut peredaran masa.

Seiring perkembangan penyakit, syarikat farmaseutikal termasuk Bayer terus memfokuskan kajian dalam mencari rawatan terbaik untuk memerangi penyakit terbabit.

Namun begitu, dalam membantu mendapat kaedah rawatan yang tepat, pembangunan infrastruktur untuk saringan mahupun pengesanan kanser perlu dibangunkan dengan baik.

ZEILER dan Dr Chuan ketika bersama media mengenai penemuan baharu ubat antikanser.
ZEILER dan Dr Chuan ketika bersama media mengenai penemuan baharu ubat antikanser.

Menurut Timbalan Presiden Kanan dan Ketua Operasi Komersial Bayer Pharmaceuticals Asia Pasifik, Claus Zeiler, adanya ketidakseimbangan kemudahan yang dinikmati pesakit kanser dari negara Asia Pasifik.

Merujuk pada negara rantau Asia Pasifik, kata Zeiler, ia dipengaruhi sosioekonomi selain amalan polisi berkaitan menangani penyakit itu. Namun, aspek terpenting yang diberi penekanan ialah pembangunan teknologi pengesanan dan saringan kanser yang perlu komprehensif dan terbaik.

“Sebagus manapun ubat dihasilkan ia hanya berkesan apabila pesakit kanser ini dirawat seawal mungkin. Bagi membolehkan mereka berada pada tahap itu, pengamal perubatan mahupun pihak terbabit dalam polisi kesihatan perlu mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran umum mengenainya.

“Tidak dinafikan, umum kurang selesa dengan pelbagai saringan kanser. Ini kerana ia meningkatkan kebimbangan mereka terhadap kewujudan sel kanser termasuk dalam saringan DNA atau genetik mereka.

“Bagaimanapun, lebih baik jika kehadiran sel kanser itu diketahui awal agar rawatan berkesan mengikut keperluan dapat diberikan. Jadi saya menyarankan pembuat polisi atau pengamal perubatan memikirkan mengenai saringan genomik memandangkan banyak kanser berpunca daripada perubahan genetik,” katanya.

Memfokuskan kepada elemen itu, kaedah terkini iaitu perubatan persis yang merujuk kepada pemilihan rawatan menurut ciri-ciri pesakit dan penyakitnya dilihat sebagai penemuan baharu dalam kajian ubat larotrectinib bagi menangani kanser pertaupan neurotrofik tirosina reseptor kinase (NTRK).

Diulas lebih lanjut oleh Ketua Hal Ehwal Perubatan Bayer Pharmaceuticals Asia Pasifik, Dr Chuan Kit Foo, dengan penemuan terbaharu ini ia dilihat sebagai ubat yang menghasilkan tindak balas berpanjangan dalam berbilang jenis kanser bagi penghidap kanser pertaupan NTRK.

“Kajian genetik menunjukkan perubahan gen yang dinamakan pertaupan gen NTRK boleh menyebabkan kanser

UJIAN genomik penting untuk penyesuaian rawatan dengan menyasarkan genetik kanser.
UJIAN genomik penting untuk penyesuaian rawatan dengan menyasarkan genetik kanser.

.

“Ciri tidak normal ini boleh ditemui dalam pelbagai jenis kanser. Larotrectinib ialah perencat TRK oral yang sangat khusus merawat penghidap kanser yang mengalami pertaupan gen NTRK.

“Semakin banyak kajian menunjukkan bahawa gen NTRK boleh bertaup secara tidak normal dengan gen lain, menghasilkan protein pertaupan TRK yang boleh menyebabkan penghantaran isyarat tidak terkawal, lantas mengakibatkan penghasilan tumor pejal di berbilang tempat di badan.

“Kanser pertaupan NTRK berlaku dalam rangkaian jenis tumor yang luas dengan tahap penularan berbeza dalam kalangan pesakit kanak-kanak dan dewasa. Ubat baharu ini dirangka untuk menyasarkan protein pertaupan TRK secara langsung dengan menutup laluan isyarat yang membolehkan kanser pertaupan NTRK menular.

“Dalam kajian klinikal, larotrectinib menunjukkan aktiviti antikanser yang ketara dan tahan lama dalam kanser pertaupan NTRK, tanpa mengira usia dan jenis tumor pesakit.

“Berasaskan set data bersepadu, pada tarikh akhir 30 Julai 2018, 84 peratus pesakit yang menunjukkan tindak balas terdiri daripada mereka yang masih menjalani rawatan atau pembedahan untuk tujuan penyembuhan. Ubat berkenaan masih dikaitkan dengan profil positif yang selamat, menunjukkan tahap keselamatan yang memuaskan,” katanya.

Malah pada November 2018, larotrectinib mendapat kelulusan Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat sesuai bagi merawat pesakit dewasa dan pediatrik yang menghidap kanser pertaupan NTRK.

Ini membuktikan peralihan rawatan berbanding menyasarkan rawatan hanya terhadap lokasi sel, ia memfokuskan pada sasaran pada genetik kanser sedia ada dalam pesakit.

Dr Chuan juga menyokong ujian

genomik perlu dijadikan sebahagian daripada amalan klinikal rutin, supaya pesakit boleh memanfaatkan terapi yang menyasarkan punca khusus kanser masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 4:30 AM