NAZILAH Idris. FOTO arkib NSTP
NAZILAH Idris. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pemindahan sukarela dua peratus caruman menerusi skim i-Sayang disambut baik dan bukti kerajaan prihatin terhadap golongan wanita.

Setiausaha Sekretariat Wanita Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Datuk Nazilah Idris berkata, menerusi caruman itu isteri yang tidak bekerja mempunyai pelaburan jangka masa panjang yang dikongsi daripada pendapatan suami.

Menurutnya, ia dilihat sebagai persediaan khususnya ketika kemelut ekonomi pasca Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.

"Skim i-Sayang ini inisiatif yang baik buat kaum Hawa dan ia dilihat penghargaan suami kepada isteri yang turut bertungkus lumus menguruskan keluarga.

"Wang caruman itu kelak adalah pelaburan jangka panjang buat isteri," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nazilah berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin boleh melonggorkan syarat skim i-Sayang dengan membenarkan pencarum mengeluarkan jumlah tertentu untuk tujuan perniagaan dan hal kecemasan.

Katanya, ia bagi memudahkan golongan wanita khususnya suri rumah menceburi perniagaan dalam talian atau perniagaan berskala kecil sebagai usaha meningkatkan pendapatan keluarga.

"KWSP mungkin boleh longgarkan sedikit syarat agar isteri boleh keluarkan amaun tertentu khususnya bagi mereka yang memulakan perniagaan.

"Saya lihat ia satu keputusan yang baik jika dilaksanakan kerana wang caruman itu isteri boleh digunakan untuk meningkatkan pendapatan keluarga," katanya.

KWSP akan melancarkan kemudahan i-Sayang pada suku pertama 2022 sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, kemudahan itu akan membolehkan pemindahan sukarela dua peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 3:57 PM