HETTY Koes Endang imbau pembabitan dalam dunia seni pada konsert berkonsep makan malam 27 Ogos ini.
HETTY Koes Endang imbau pembabitan dalam dunia seni pada konsert berkonsep makan malam 27 Ogos ini.
Syafil Syazwan Jefri


MENJENGAH perjalanan karier selama 50 tahun tentunya membawa figura bernama Hetty Koes Endang melalui pelbagai pengalaman hebat dan penuh suka duka sebagai anak seni.

Bersempena dengan angka keramat itu, Hetty yang mesra disapa dengan panggilan Bunda Hetty bakal menggegarkan Manhattan Ballroom, Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur menerusi acara Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang pada 27 Ogos depan.

Berkonsepkan acara makan malam, ini menjadi penanda aras untuk usia kerjayanya sebagai anak seni yang bekerja keras mencipta nama bukan sahaja di negara kelahirannya, Indonesia, bahkan turut popular di Malaysia dan pelbagai negara lain.

"Konsert ini begitu bermakna buat saya kerana ia adalah satu sambutan perayaan jubli emas, 50 tahun saya berkarya di dalam industri muzik sebagai penyanyi dan penghibur," katanya.

Menurut penyanyi berusia 65 tahun ini, konsert anjuran Mahajaya Empire Sdn Bhd itu sepatutnya berlangsung pada 2020 yang lalu, namun terpaksa ditunda akibat kekangan pandemik yang melanda dunia.

"Mengikut perancangan asal, konsert itu sepatutnya berlangsung pada 2020. Namun, semua sedia maklum akan keadaan semasa yang berlaku akibat pandemik dan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"Jadi, rancangan untuk mengadakan konsert juga terpaksa ditangguhkan sehinggalah ke tahun ini," katanya.

Sepanjang durasi 120 minit, Hetty akan menghiburkan peminatnya dengan 15 lagu popular di samping beberapa lagu lain yang tidak kurang istimewa.

"Konsert berkonsepkan acara makan malam ini akan berlangsung dalam durasi sekitar 120 minit atau dua jam.

"Pada acara itu nanti, saya akan dendangkan 15 lagu hit dan beberapa lagu istimewa untuk segmen tribute buat komposer serta penyanyi legenda seperti Broery Marantika dan Datuk Ahmad Nawab," katanya.

Satu lagi perkara menarik dikongsikan Hetty adalah mengenai kerjasamanya dengan sahabatnya, Datuk Ramli MS yang mesra disapa dengan panggilan Tok Ram.

"Sekali lagi, saya akan bekerjasama dengan Tok Ram sebagai pengarah muzik yang akan mengiringi pemuzik handalan tanah air. Bagi saya, muzik Tok Ram sangat 'hidup' dan sentiasa terbaik," katanya.

Harga meja bermula dengan RM4,560 untuk kategori Gold, RM6,640 (Platinum), RM8,700 (VIP) dan RM11,700 (VVIP) dan dijual di https://ilassotickets.com/event/konsert-jubli-emas-hetty-koes-endang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 6:10 AM