CABARAN dalam penghayatan, 3 hari perah otak siapkan rakaman.
CABARAN dalam penghayatan, 3 hari perah otak siapkan rakaman.
Georgie Joseph


KUASA lagu sememangnya sangat besar buat penyanyi menyalurkan ekspresi untuk seseorang yang istimewa di hatinya.

Itulah yang dicetuskan penyanyi, Harris Alif menerusi lagu terbaharunya, Anugerah.

Disulami bait indah dengan nada romantik, penyanyi berusia 21 tahun ini jelas memberikan 'nyawanya' dalam Anugerah. Lagu ciptaan Archie Nasution itu seakan-aka

n kena dengan gelora jiwa anak jati Pulau Pinang ini.

Harris mengakui lagu berkenaan membawa makna yang cukup besar buatnya.

Dia yang masih mencari ruang selesa sebagai penyanyi berkata, penghasilan Anugerah memberi sinar buatnya menyerlah kembali dalam arena seni suara.

"Ini lagu sulung saya bersama Sony Music Malaysia. Oleh itu, ia membawa makna yang sangat besar apatah lagi ia pertaruhan pertama saya bersama syarikat rakaman ini. Kekuatan lirik dan melodi yang mudah menangkap halwa telinga selain senang dinyanyikan bersama menjadikan lagu ini istimewa," katanya.

Hangat

diperbualkan bercinta dengan pelakon Intan Ladyana sekarang, Harris tidak menafikan lagu ini ditujukan buatnya juga.

Justeru, ia memberikan lebih makna kepadanya walaupun idea asalnya cetusan Archie sendiri.

Menurutnya, Anugerah sebuah lagu cinta yang boleh dikaitkan dengan kisah cinta sesiapa saja.

"Sebenarnya, Archie menulis lirik lagu ini untuk isterinya. Hakikatnya, sebagai penyanyi, saya cuma meneruskan tanggungjawab untuk memberikan nyawa dalam nyanyian agar mesej yang cuba disampaikan tepat menusuk ke hati pendengar. Semestinya, saya juga tujukan lagu Anugerah ini kepada seseorang yang istimewa," katanya.

Bagaimanapun, Harris tidak menafikan tetap berdepan cabaran sewaktu proses pembikinan lagu ini terutama dari segi penghayatan.

Baginya, proses itulah yang paling penting untuk dikuasai sebelum diteruskan kepada proses rakaman secara keseluruhan pula. Mujur, dia dan Archie banyak bertukar idea bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Untuk saya sendiri, bahagian yang paling mencabar dan agak susah ialah penghayatan lagu itu. Saya perlu benar-benar mendalami untuk serasikan diri dengan keseluruhan idea Anugerah. Kemudian saya juga perlu memahami secara mendalam konteks dan mesej yang perlu disampaikan. Adalah dalam tiga hari memerah otak siapkan lagu ini.

"Begitu juga dari sudut menyalurkan emosi apabila aspek ini adalah paling penting. Itulah pentingnya perbincangan berterusan dengan pencipta lagu. Saya mengucapkan terima kasih kepada Archie yang banyak membantu lancarkan penghayatan dan emosi dalam nyanyian sepanjang rakamannya" katanya.

Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi antara artis muda serba boleh yang semakin meningkat. Bukan sekadar penyanyi, dia juga aktif sebagai pengacara, pelakon dan model peragaan.

Harris mula terbabit dalam bidang seni sejak berusia 11 tahun dan pernah menjuarai program nyanyian termasuk Bintang Kecil RTM pada 2009 dan Idola Kecil 3 (2010).

Selain itu, dia juga pernah berlakon dalam beberapa drama dan kini sebagai pengacara Generasi Z dan M-pop di TV3.

Anugerah boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify & YouTube Mus

ic.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:10 AM