HARRIS Alif.
HARRIS Alif.
Georgie Joseph

Baru mendirikan rumah tangga dengan cinta hatinya, Intan Ladyana pada 5 Februari lalu, penyanyi, pelakon dan pengacara Harris Alif, 22, pastinya kini diulit kebahagiaan.

Demi mengabadikan rasa cinta mendalamnya terhadap isteri, Harris tidak menunggu lama untuk tampil dengan lagu baharu berjudul Permaisuri.

Judulnya saja pun sudah cukup menggambarkan isi kandungan lagu ciptaan Archie Nasution ini. Semestinya ia adalah curahan hati Harris terhadap kebahagiaan yang akhirnya dikecapi bersama wanita pilihannya.

Justeru, lagu Permaisuri dihasilkan sebagai simbolik tepat kepada gejolak cinta dalam hatinya sekarang. Berbekalkan melodi indah, cetusan rasa dalam lagu Permaisuri sememangnya terserlah ikhlas dan jujur.

Alunan Harris terhadap bait-bait liriknya cukup dirasakan seolah-olah ditujukan tepat ke hati permaisurinya. Begitulah kuatnya lagu ini diungkapkan luhur dari hati yang terdalam.

Ia diakui Harris yang menyifatkan Permaisuri sememangnya membawa makna besar dalam dirinya secara peribadi.

Dalam fikirannya, dia berharap fasa baharu kebahagiaan dalam hidupnya menjadi perjalanan indah selama-lamanya. Lantas, Harris curahkan sepenuh jiwanya bagi menghidupkan lagi lagu ini.

"Sebagaimana judulnya, lagu ini semestinya menceritakan mengenai seorang permaisuri yang bertakhta di hati saya. Lagu ini cukup bermakna buat saya apatah lagi kini sudah menemui sendiri permaisuri hati.

"Ya, saya akui lagu ini adalah terjemahan dedikasi cinta saya terhadap isteri. Sejak dari awal lagi, saya sudah beritahu komposer iaitu Archie bahawa lagu Permaisuri ini memang untuk diciptakan khas buat permaisuri hati saya (Intan Ladyana).

"Perasaan itu hadir seiring dengan emosi yang mengalir dalam diri sekali gus sangat membantu penghayatan jadi lebih berkesan," katanya.

HARRIS Alif tuju Permaisuri buat sang isteri, Intan Ladyana.
HARRIS Alif tuju Permaisuri buat sang isteri, Intan Ladyana.

Apa yang menarik, lagu bercorak begini pastinya bakal menjadi pilihan ramai sebagai lagu perkahwinan terutamanya. Harris tidak menolak jika suatu hari nanti, Permaisuri menjadi lagu pilihan pasangan bercinta yang ingin melangkah ke alam perkahwinan.

Memikirkan hal itu pun sudah membuatkan hatinya sendiri berbunga-bunga.

"Secara keseluruhan, lagu ini sesuai untuk pasangan terutama buat si lelaki dedikasikan kepada pasangannya. Ia tidak mengenal status, baik pasangan itu baharu bercinta mahupun yang sudah berkahwin.

"Yang penting, setiap pasangan itu disulami rasa cinta paling dalam menerusi hubungan masing-masing," katanya.

Menyentuh mengenai proses menyiapkan lagu ini, Harris tidak mengambil masa lama untuk menyudahkannya. Maklumlah, dia sendiri sudah melihat hala tuju yang jelas untuk Permaisuri serta menetapkan penceritaannya.

Harris dan Archie cuma mengambil masa dua minggu untuk proses itu. Ia juga dibuat sebagai kejutan kepada Intan Ladyana.

Tarikh 5 Februari lalu menjadi detik manis buat Harris dan Intan apabila akhirnya disatukan menjadi suami isteri. Walaupun majlis berlangsung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak mencacatkan langsung kegembiraan pasangan itu.

Apa yang pasti, kini mereka sudah bersedia menjalani fasa hidup baharu dan berjanji setia saling mencintai.

Permaisuri kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 8:28 AM