Harry berbangga kerana lagu Amalina kini menjadi kegilaan ramai. FOTO HM Digital
Harry berbangga kerana lagu Amalina kini menjadi kegilaan ramai. FOTO HM Digital
Ridzuan Abdul Rahman


BIARPUN sering menghasilkan lagu-lagu popular, komposer Harry Khalifah mengakui belum mempunyai keyakinan mencipta lagu untuk penyanyi wanita.

“Setakat ini saya hanya bertindak sebagai penerbit kepada seorang penyanyi wanita tapi untuk mencipta lagu belum pernah lagi.

“Pada saya, agak berat sebenarnya menghasilkan lagu untuk penyanyi wanita kerana perlukan penghayatan yang betul dan sepenuhnya.

“Saya sendiri sebenarnya adalah komposer yang ‘mental’ dan lagu-lagu saya lebih kepada lagu mental,” katanya kepada Harian Metro.

Sentuhan Harry, pemain gitar utama kumpulan rock Khalifah menjadi menerusi pelbagai lagu antaranya Kasihnya Laila nyanyian Jinbara, Hang Pi Mana, Assalamualaikum Ustazah dan Cikgu Ayu (Khalifah), Sedalam-Dalam Rindu dan Melamar Rindu (Tajul) dan terbaru Amalina (Santesh).

Terbaru, dia turut mencipta lagu Mymuna nyanyian Santesh yang dijangka akan meletup seperti lagu Amalina.

Menurutnya lagi, dia lebih suka menghasilkan lagu-lagu yang dianggap ringan kerana lebih bagus selain mudah diterima peminat.

“Saya buat lagu ibarat seperti nak jual nasi lemak, mee goreng, donut atau sebagainya.

“Tapi kalau saya buat sebuah lagu berat yang orang susah nak ingat dan susah nak menyanyi, ia pasti merugikan.

“Kalau lagu-lagu ringan, senang untuk peminat terima dan ia boleh kekal untuk jangka masa panjang,” katanya.

Harry berkata, ia terbukti apabila lagu Hang Pi Mana dan lagu-lagu lain ciptaannya masih kekal dinyanyikan oleh peminat di majlis kenduri kahwin dan pusat karaoke.

“Itulah sebabnya saya tak kisah dikata apapun. Sebenarnya lagu-lagu ciptaan saya menerima kecaman yang teruk daripada segelintir pihak.

“Ada yang kata lagu saya lagu kampung dan lagu longkang serta tak sepatutnya ada dalam industri.

“Tapi sebenarnya ini adalah hakikat. Saya sebenarnya nak berkarya untuk orang dan bukan kerana syok sendiri,” katanya.

Menurut Harry, dia berbangga kerana lagu Amalina kini turut menjadi kegilaan ramai peminat termasuk peminat berusia enam tahun yang mampu menyanyikannya dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 4:29 PM