HARRIS mengelak daripada menerima tawaran lakonan jadi budak sekolah atau seumpama. FOTO Instagram Harris Alif
HARRIS mengelak daripada menerima tawaran lakonan jadi budak sekolah atau seumpama. FOTO Instagram Harris Alif
Georgie Joseph


PELAKON, pengacara, dan penyanyi Harris Alif mendedahkan masih ramai menganggapnya bintang kanak-kanak sehinggakan merencat peluang untuknya mendapat tawaran sesuai dengan umur sekarang.

Harris, 20, berkata hal itu membuatkan dia terpaksa menolak tawaran lakonan yang membabitkan imej pelajar selain memutuskan untuk memperlahankan kerjaya lakonan.

“Bukan senang untuk lari daripada imej ini sebenarnya. Hal ini turut menimpa rakan artis lain termasuklah Aedy Ashraf dan Fimie Don di mana masih ramai tidak melihat kami sudah dewasa.

“Disebabkan itu, saya sendiri mengelak daripada menerima tawaran lakonan jadi budak sekolah atau seumpama. Bukan menolak rezeki, sebaliknya saya perlu lari daripada terus dianggap sebagai kanak-kanak.

“Saya juga kena tunjukkan diri sudah matang daripada pelbagai sudut termasuklah di media sosial. Tapi bukanlah terlalu mencuba untuk menunjuk sebaliknya cukup memperlihatkan kematangan diri seiring usia sekarang,” katanya.

Harris juga berharap orang ramai akan membuka mata dan melupakan imejnya sebagai artis kanak-kanak dalam memberikan tawaran berlakon selepas ini.

“Saya kini mahu fokuskan kepada pengacaraan dan kembali merancakkan kerjaya nyanyian. Untuk lakonan, saya mahu perlahankan seketika supaya imej kanak-kanak itu dilupakan penerbit ataupun produksi.

“Terus-terang, ada juga penerbit yang menyuruh saya bela janggut dan misai untuk kelihatan lebih matang. Namun saya tidak boleh berbuat demikian memandangkan saya memang bukan keturunan berjanggut,” katanya.

Harris ditemui pada pelancaran lagu terbarunya berjudul Pencinta ciptaan sepenuhnya komposer Ajai, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 9:28 PM