TARIKAN lain, Lidah Pasir Pulau Kuraman.
TARIKAN lain, Lidah Pasir Pulau Kuraman.
Nurul Husna Mahmud


TINGGALAN sejarah bukan hanya objek, catatan dan penceritaan sesuatu peristiwa sebagai sumber kajian semata-mata.

Sebaliknya kesan yang ada pada persekitaran juga boleh menjadi sumber penting.

Sebagai contoh, pembentukan struktur dan kesan hakisan serta galian yang terdapat di lokasi berkenaan antara elemen dikaji ketika berada di tapak geologi.

Tidak menghairankan, Taman Geo (Geopark), Labuan yang terletak di sebelah Malaysia Timur antara destinasi unik boleh dilawati bagi melihat kesan sejarah tinggalan 15 hingga 20 juta tahun terdahulu sebelum ia terbentuk.

Mengenai Labuan pula, ia adalah Wilayah Persekutuan yang kedua selepas Kuala Lumpur. Ia dikawal selia Kementerian Wilayah Persekutuan dengan Perbadanan Labuan sebagai pihak berkuasa tempatan.

Seterusnya Taman Geo (Geopark) itu tidak hanya membantu pemahaman lebih baik mengenai fenomena yang berlaku, malah pengunjung boleh merakam foto berlatar keunikan itu.

1. Batuan Penakung Minyak Ganggarak

Dianggarkan usia batuan penakung minyak reservoir yang terletak di kampung Ganggarak sudah mencecah ke angka 15 juta tahun.

Menariknya mengenai batuan yang terdedah itu, ia masih mengandungi kesan takungan dan bau minyak yang tiris keluar.

Berada di lokasi ini memberi gambaran mengenai batuan penakung minyak yang wujud beberapa ribuan kaki di dasar laut sekitar Labuan.

2. Batuan Sedimen Temburong Bebuloh Darat

Tapak geologi yang berusia sekitar 35 juta tahun mempunyai batuan sedimen endapan laut yang sangat dalam mungkin melebihi 2000 meter kedalamannya.

Boleh dilihat seakan-akan binaan struktur tembok tinggi dengan susunan lapisan batu lumpur merah hingga kelabu gelap ditindih selang lapis antara batu lodak hingga batu pasir kasar yang berketebalan sederhana.

Di lokasi yang sama boleh juga lihat fosil surih (kesan jejak haiwan) yang hidup pada paras laut dalam sekitar 30 juta tahun lampau.

Terdapat juga kampung air tradisi Patau-Patau iaitu antara penempatan terdekat dengan kawasan tapak geologi terbabit.

3. Pulau Rusukan Besar

Keunikan pulau ini ialah memiliki kekar merujuk kepada patahan lurus dalam batuan yang tidak menunjukkan pergerakan.

Manakala sesar pula adalah patahan yang menunjukkan pergerakan pada jasad batuan.

Dataran hakisan lautnya mempamerkan struktur kekar kotak dan sesar yang sangat unik.

Kekar ini adalah manifestasi kepada proses tektonik yang aktif berlaku di bahagian barat Borneo pada masa lampau dan ia dikenali sebagaiTesselated Pavement.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 6:50 AM