MUHAMMAD Mustadza Mazni menyampaikan taklimat mengenai Geopark secara maya, hari ini.
MUHAMMAD Mustadza Mazni menyampaikan taklimat mengenai Geopark secara maya, hari ini.
Redzuan Muharam


Labuan: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang menilai dan mengenal pasti beberapa tapak yang berpotensi untuk diangkat sebagai Geopark di negara ini.

Penolong Pengarah Kanan JMG Muhammad Mustadza Mazni yang juga Ahli Profesional Geologi (BoG) dan Ahli Profesional Teknologis (MBOT) berkata, ia kerana proses penilaian tapak geologi berpotensi dan bersesuaian sememangnya terdapat dalam komponen projek JMG.

Bagaimanapun, menurutnya, kawasan berpotensi dikenal pasti tidak semestinya akan dikelaskan sebagai Geopark kerana perlu menepati kriteria ditetapkan berdasarkan penilaian dilakukan dengan adanya nilai sumber geotapak yang bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Di samping itu, katanya, kawasan itu juga perlu ada hubung kait dengan sumber terintergrasi lain seperti tapak biologi dan tapak budaya.

"Tapak berpotensi itu ada cuma pemetaan secara tersusun perlu dilakukan. Ia bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berwajib mengenal pasti sesuatu kawasan itu boleh dibangunkan Geopark atau sebaliknya," katanya mengenai sesi libat urus dan taklimat Geopark Labuan secara maya, hari ini.

Menurut Muhammad Mustadza, penilaian pengiktirafan Labuan sebagai Geopark Kebangsaan bakal diadakan pada November depan.

"Mesyuarat di peringkat kebangsaan pula dijangka pada Disember dan kita berharap komuniti setempat membantu menyebarkan maklumat.

"Penilaian dilakukan oleh pegawai dilantik kementerian yang akan berjumpa penduduk setempat untuk menemubual," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Geologi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Norbert Simon berkata, Geopark adalah satu kawasan yang mempunyai tapak budaya dengan keunikan geologi bertaraf kebangsaan.

"Kawasan itu juga mempunyai ciri geologi yang dipelihara dengan baik dan Labuan ada banyak tapak bertaraf kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 2:42 PM