LANGKAWI bertuah kerana mempunyai banyak tapak warisan geologi.
LANGKAWI bertuah kerana mempunyai banyak tapak warisan geologi.

Langkawi yang kaya dengan warisan geologi perlu dipromosikan sebagai destinasi pelancongan ilmu bagi membolehkan pengunjung menambah pengetahuan mereka mengenai pulau legenda itu.

Tambahan dengan taraf Global Geopark yang diberikan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) lebih tujuh tahun lalu, Langkawi setanding tapak warisan dunia lain termasuk Grand Canyon di Amerika Syarikat.

“Saya dimaklumkan di Grand Canyon, secara puratanya ada pengunjung yang ke tempat itu lebih 15 kali, setiap setahun atau dua tahun sekali,” kata Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Oleh itu, Langkawi perlu menyediakan lebih banyak kemudahan untuk pelancong seumpama itu termasuk cenderahati bermutu tinggi memandangkan mereka bersedia berbelanja lebih untuk menimba pengetahuan.

“Penduduk di Langkawi perlu mengambil kesempatan daripada keadaan ini supaya mereka boleh meraih manfaat daripada taraf Global Geopark ini,” katanya yang juga pakar antarabangsa UNESCO Global Geopark Network (GGN).

Langkawi Geopark bukan sebarangan taman Geopark, katanya, sambil menekankan fakta Gunung Machinchang di Langkawi adalah pembentukan batuan tertua di negara ini dan dianggarkan berusia 550 juta tahun.

“Di sini tanah besar Malaysia terbentuk. Sebelum ada tempat lain, Gunung Machinchang muncul daripada laut.

“Di samping Gunung Machinchang, Kilim Karst juga antara pembentukan batu kapur terindah sementara Pulau Tasik Dayang Bunting diiktiraf landskap pulau paling luar biasa,” katanya sambil menambah Gunung Machinchang, Kilim Karst dan Tasik Dayang Bunting juga diiktiraf sebagai warisan di bawah taraf Geopark.

Sehingga ini, sekurang-kurangnya 90 tapak warisan geologi di Langkawi sudah dikenal pasti sebagai warisan alamiah yang perlu dipelihara.

Sementara itu, Prof Ibrahim berkata, masyarakat tempatan Langkawi perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang cukup berhubung fakta geografi mengenai pulau itu supaya mereka boleh berkongsi dengan pelawat.

Di bawah konsep Lang­kawi Global Geopark, mereka yang berada di pulau itu dianggap ‘Geoparkians’, istilah yang merujuk kepada semua yang berkepentingan di pulau warisan geologi itu.

Katanya, kisah mitos dan legenda yang ada kaitan dengan landskap semula jadi boleh juga digunakan untuk mempromosi dan memelihara Geopark ini.

“Sebagai contoh, kisah dongeng rakyat Langkawi pergaduhan antara dua gergasi iaitu Mat Chinchang dan Mat Raya yang berakhir dengan kedua-duanya bertukar menjadi gunung boleh menjadi kisah yang menarik pembentukan geologi di pulau ini,” katanya.

Sebagai rumusan, Geopark adalah konsep holistik melibatkan pengiktirafan tapak warisan geologi untuki tujuan pemuliharaan, pendidikan umum dan pembangunan lestari. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 12:34 PM