FOSIL karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun yang muncul sejak zaman paleozoik. FOTO Muhammad Lokman Khairi
FOSIL karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun yang muncul sejak zaman paleozoik. FOTO Muhammad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Kampar: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak akan menjalankan pemetaan di kawasan penemuan fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun yang ditemukan dekat Kampung Changkat Tualang, di sini, dengan segera bagi memelihara sumber warisan geologi itu.

Pengarahnya, Nizarulikram Abdul Rahim, berkata pihaknya memutuskan supaya sampel fosil hidupan purba daripada spesies siput laut merangkumi kelas Gastropod, Rugosa, Crinoid dan Gastropod yang ditemui melekat pada batuan kapur di sini, tidak dibawa keluar, sebaliknya ia akan terus dikekalkan di tempat asalnya untuk tatapan pelancong.

"Proses pemetaan terbabit akan dilakukan pada tahun ini dengan kerjasama pakar dari universiti dan semua pihak yang berkaitan supaya kita dapat mengenalpasti keluasan sebenar zon yang perlu dipelihara.

"Kita juga maklumkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kampar serta Majlis Daerah Kampar untuk pewartaan.

"Selepas itu, kita akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Geopark Kebangsaan supaya kawasan ini diangkat sebagai salah satu tapak tambahan geotapak yang sedia ada di dalam Geopark Lembah Kinta," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Geosains JMG Perak, Mat Niza Abdul Rahman.

Terdahulu, Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) dilaporkan menemukan fosil hidupan laut kuno itu selepas tiga minggu menjelajahi lokasi terbabit berdasarkan rujukan daripada jurnal lama termasuk rekod pengkaji lama.

Penemuan itu yang pertama setakat ini dijumpai di Perak khususnya daerah Kinta dan fosil itu ialah hidupan laut kuno yang muncul sejak zaman paleozoik sebelum wujudnya haiwan reptilia purba dinosaur.

Naib Pengerusi GEONAT, Mohd Fadly Md Noor, dipetik berkata, fosil karang di atas batuan kapur puncak dalam air itu membuktikan kawasan berkenaan dahulunya adalah lautan, namun mengalami proses pembentukan muka bumi sehingga menjadi daratan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 11:02 PM