SAIFUDDIN Nasution (kiri) menyerahkan anugerah kepada Azhar dan Norhaliza Awalludin yang juga ibu bapa kepada Konstabel Ahmad Azza Fahmi. FOTO Bernama
SAIFUDDIN Nasution (kiri) menyerahkan anugerah kepada Azhar dan Norhaliza Awalludin yang juga ibu bapa kepada Konstabel Ahmad Azza Fahmi. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Azhar Khaiden, bapa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, terharu dan menghargai pengiktirafan diberikan kepada anaknya yang dinaikkan pangkat secara posthumous (anumerta) kepada Koperal, hari ini, susulan insiden Balai Polis Ulu Tiram, Johor diserang bulan lalu.

Azhar, 54, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelah, Sungkai, Perak berkata, walaupun anaknya terkorban dalam peristiwa berdarah menggemparkan negara itu, namun pengiktirafan seumpamanya meningkatkan lagi semangat keperwiraan pasukan polis.

"Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain pernah menyebut peristiwa ini berlaku bukan sesuatu yang diminta, ia berlaku ke atas orang yang terpilih.

"...dan perkara ini kalau kita pandang kepada sudut yang negatif kita rasa seperti apa yang orang kata sebagai malapetaka, sebenarnya bukan.

"Ini adalah satu pengalaman yang cukup bermakna untuk mereka yang terbabit dalam erti kata untuk memantapkan lagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya meningkatkan lagi semangat keperwiraan warga PDRM terhadap negara. Tidak boleh luntur semangat," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous (anumerta) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini, yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, dua anggota polis Balai Polis Ulu Tiram terkorban akibat ditembak serta ditetak dalam serangan dilakukan seorang individu bertopeng. Suspek lelaki berusia 21 tahun turut maut dalam serangan berkenaan.

Selain Ahmad Azza Fahmi, 22, Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, juga terkorban dan pada hari ini kedua-duanya dinaikkan pangkat secara posthumous (anumerta) kepada Koperal.

Pada majlis sama, tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram turut menerima kenaikan pangkat secara medan iaitu Koperal Mohd Hasif Roslan dinaikkan ke pangkat Sarjan, Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh dinaikkan ke pangkat Koperal dan Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dinaikkan ke pangkat Koperal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 6:43 PM