KUALA LUMPUR 29 SEPTEMBER 2023. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berucap ketika majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapol Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR 29 SEPTEMBER 2023. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berucap ketika majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapol Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Bersama Dr Siti Aisyah Samudin dan Dr Hanira Hanafi

Kadar peningkatan krisis akhlak dan moral kanak-kanak dan remaja di negara ini dilihat semakin membimbangkan. Laporan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah kes jenayah membabitkan pesalah juvana meningkat 37.5 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya. Malah, Disember 2019 turut mencatatkan kes penangkapan empat remaja bawah umur yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh atas pertuduhan berasingan membabitkan kes jenayah seksual.

Terkini, tular di media sosial satu rakaman video seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang didakwa memaksa rakan sejantina melakukan tindak seksual terhadapnya.

Laporan dan statistik ini hanya sebahagian dari ribuan kes lain yang dilaporkan. Dianggarkan, banyak lagi kes seksual lain membabitkan pesalah bawah umur yang tidak dilaporkan atas beberapa faktor, antaranya pembabitan maruah, wujud pertalian darah dan aktiviti sukarela. Selain itu, data awalan turut mendapati bahawa wujud kanak-kanak yang terbabit sebagai pelaku kesalahan seksual sebenarnya adalah mangsa seksual sama ada di asrama, tempat asuhan atau rumah kediaman.

Bagi kes jenayah syariah, kes khalwat adalah antara kes yang banyak berlaku di Malaysia dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur. Ia turut diakui Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang melaporkan bahawa jenayah tertinggi dicatatkan pesalah bawah umur adalah bagi kes rogol, diikuti dadah, mencederakan orang dan mencuri motosikal.

Hampir 99 peratus pelaku jenayah dan mangsa adalah pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 18 tahun.

Umum menyedari bahawa kanak-kanak adalah asas kepada permulaan pembinaan masyarakat yang kukuh dan bertamadun dalam usaha mencapai negara contoh dan maju dari aspek akhlak, sosial dan pembangunannya.

Isu timbul apabila membabitkan tafsiran kanak-kanak dari aspek perundangan di Malaysia dan pelaksanaannya di mahkamah sivil dan syariah. Undang-undang negara turut memperuntukkan had umur seorang kanak-kanak bagi jenayah sivil dan jenayah syariah, namun penetapan had umur ini memiliki perbezaan di antara sistem perundangan sivil dan syariah di Malaysia.

Penetapan had umur ini akan membawa kepada analisis takat tanggungjawab jenayah serta hukuman atau proses pemulihan yang wajar dikenakan ke atas kanak-kanak.

Dalam Islam, seseorang itu masih bergelar kanak-kanak selagi belum ihtilam atau mencapai usia baligh. Oleh itu, seseorang mula dipertanggungjawabkan dengan perbuatannya hanya selepas baligh.

Penelitian berkenaan tafsiran kanak-kanak di mahkamah syariah perlu dilihat dengan merujuk pandangan fiqh berkenaan had umur kanak-kanak. Usia baligh seseorang menurut sebahagian enakmen jenayah syariah negeri seperti di Perak, Negeri Sembilan dan Sabah mempunyai percanggahan dengan pegangan empat mazhab utama yang meletakkan umur minimum 15 tahun sebagai usia baligh. Di samping itu, had umur kanak-kanak bagi mahkamah syariah di Perlis dan Kedah adalah berbeza dengan mahkamah syariah lain.

Mahkamah sivil pula menggunakan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kes jenayah kanak-kanak dan meletakkan had umur yang lebih tinggi iaitu 18 tahun berbanding dengan kebanyakan mahkamah syariah di Malaysia. Setiap negeri atau negara perlu memperuntukkan had umur bagi kanak-kanak seperti yang ditekankan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Oleh itu, umur baligh maksimum dalam Islam dan had umur dalam enakmen tatacara jenayah syariah serta Akta Kanak-kanak 2001 tidak mempunyai penyelarasan seterusnya menimbulkan kecelaruan dalam pelaksanaan perundangan negara secara umum. Ketidakselarasan penetapan had umur kanak-kanak dalam tanggungjawab ini boleh mewujudkan ketidakadilan dalam institusi penguatkuasaan undang-undang jenayah sivil serta jenayah syariah bagi negeri yang berkenaan.

Oleh itu, penyelarasan penggunaan istilah dalam perundangan jenayah syariah juga adalah diperlukan untuk mengelakkan sebarang kecelaruan. Perkara ini secara tidak langsung dapat menjaga kepentingan dan kebajikan seorang kanak-kanak. Ketidakselarasan had umur seorang kanak-kanak di peringkat institusi kehakiman secara keseluruhannya memberi impak kerana ia mampu mewujudkan ketidakadilan ketika pihak mahkamah memberikan hukuman yang relevan kepada pesalah muda kanak-kanak.

Selain isu ketidakselarasan had umur dalam perundangan jenayah syariah, kerelevanan had umur maksimum kanak-kanak pada usia 18 tahun dalam perundangan jenayah sivil juga perlu ditinjau sebaiknya. Penetapan umur di bawah 18 tahun sebagai kanak-kanak mengikut Seksyen 2, Akta Kanak-Kanak 2001 bagi maksud tanggungan jenayah sivil juga perlu diteliti semula. Hal ini perlu dipertimbangkan kerana kemajuan peredaran dunia teknologi kini amat berbeza dengan tahun sebelumnya.

Sistem perundangan di Malaysia bagi kes membabitkan juvana atau pesalah muda sudah dilaksanakan lebih daripada 50 tahun. Diharapkan pihak pemerintah boleh menelusuri isu berkaitan had umur dalam jenayah syariah dan sivil di Malaysia ini dengan lebih mendalam bagi memelihara siasah syar'iyyah negara.

Kedua-dua penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 7:01 AM