GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mashitah Abdul Mutalib dan Dr Nur Al-Farhain Kamaruzzaman

Malaysia dikejutkan lagi dengan isu kesalahan seksual terhadap individu bawah umur apabila baru-baru ini perlakuan berani oleh usahawan kosmetik di media sosial mengadakan live bersama remaja yang berusia belasan tahun. Dengan imej berpakaian mencolok mata dan perbualan lucah, hal ini pasti menyesakkan dada kita terutama ibu bapa. Dahulu mungkin perbuatan jenayah ini dilakukan secara sembunyi atau in private.

Kini kesalahan itu berlaku dalam aksi live ditonton ribuan penonton. Dalam hal ini, penggunaan media sosial oleh kanak-kanak sehingga tengah malam tanpa pengawasan ibu bapa juga isu perlu diambil serius. Berdasarkan Laporan Kajian Pengguna Telefon Bimbit 2018 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mengikut pecahan umur, golongan berusia 20 tahun ke bawah paling ramai menggunakan telefon pintar terutama sebelum tidur dan pada tengah malam.

Secara umumnya, isu perlindungan terhadap kanak-kanak digariskan dalam Dasar Perlindungan Kanak-Kanak. Dasar ini memberi tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan serta pembangunan melindungi kanak-kanak. Dasar ini selari dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagi isu kesalahan seksual terhadap kanak-kanak terutama pengantunan dan amang seksual, Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] adalah relevan. Seksyen 11, 12 dan 13 Akta 792 memperuntukkan kesalahan yang berhubungan dengan pengantunan kanak-kanak manakala Seksyen 14 dan 15 pula adalah peruntukan yang boleh digunakan untuk mengambil tindakan ke atas kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak.

Walaupun peruntukan undang-undang kini sudah ada untuk menghukum pesalah terbabit, pendekatan pencegahan perlu dilakukan supaya tidak dinormalisasi oleh golongan tidak bertanggungjawab ini atas alasan hiburan. Kajian perlu lebih banyak dilakukan untuk menganalisis pendekatan pencegahan yang lebih efektif bagi mengekang kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Selain itu, isu berkaitan yang perlu dilihat juga adalah keberanian individu transgender ini menggunakan media sosial untuk mempromosikan gaya hidup songsang mereka terutama kepada individu bawah umur. Ini membawa kepada persoalan, apakah peranan pihak berautoriti untuk mengekang perkara ini? Tiadakah ada cara untuk menghadapi isu ini terutama daripada segi perundangan syariah? Dari sudut perundangan syariah, sehingga kini, semua Enakmen Jenayah Syariah negeri ada peruntukan berkaitan transgender iaitu kesalahan lelaki berlagak perempuan atau pondan.

Sebagai contoh, dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Seksyen 30 memperuntukkan kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan di tempat awam. Berdasarkan peruntukan ini, hukuman yang boleh dijatuhkan adalah denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya.

Begitu juga dengan Pahang dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013, Seksyen 33 yang memperuntukkan hukuman hampir sama iaitu denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Antara negeri yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat adalah Perlis. Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991, Seksyen 7, memperuntukkan hukuman bagi kesalahan pondan iaitu denda tidak melebihi RM6,000 atau penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya. Walaupun sudah terdapat peruntukan berkaitan kesalahan ini, timbul persoalan sejauh mana peruntukan ini boleh dikuatkuasakan disebabkan wujud beberapa kelompongan. Sebagai contoh, dalam kebanyakan peruntukan kesalahan ini menyebutkan bahawa kesalahan berkenaan dilakukan di tempat awam. Maka, dalam kes melibatkan usahawan kosmetik yang melakukan kesalahan ini di Instagram Live iaitu platform media sosial, adakah termasuk dalam definisi tempat awam? Keduanya, negeri manakah yang mempunyai bidang kuasa melakukan proses pendakwaan bagi kesalahan ini memandangkan ia dilakukan di media sosial? Dari sudut peruntukan hukuman pula, bentuk hukumannya dianggap ringan.

Maka, persoalannya, adakah peruntukan yang sedia ada ini mampu menimbulkan kegerunan dan mengekang kesalahan ini daripada terus berlaku atau ia masih memerlukan penelitian dan penambahbaikan? Selain pendekatan undang-undang yang boleh digunakan untuk mengekang kesalahan ini, usaha dakwah dan bimbingan oleh institusi agama sudah dilakukan secara proaktif oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri bersama komuniti NGO Hijrah Transgender.

Sehingga hari ini banyak program berbentuk kerohanian seperti mukhayyam dan bimbingan kaunseling secara berterusan n bersama komuniti ini membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Insaf Pahang, My Hijrah My Adventure, Pertubuhan Hijrah Republique dan Persatuan Kebajikan Darul Modahish.

Usaha yang baik ini perlu diteruskan agar golongan transgender ini terus disantuni dan kembali ke pangkal jalan.


Dr Mashitah Abdul Mutalib Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia manakala Dr Nur Al-Farhain Kamaruzzaman Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:00 AM