FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Melvin Joni


MENTERI Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah menafikan kerajaan Sarawak menolak pindaan undang-undang had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaan Sarawak menolak larangan perkahwinan kanak-kanak adalah tidak tepat.

Menurutnya, Sarawak mempunyai tiga sistem perundangan perkahwinan iaitu undang-undang sivil, syariah dan adat.

Beliau berkata, umur minimum perkahwinan sivil ialah 18 tahun dan kebenaran hendaklah diperoleh daripada Ketua Menteri atau Residen (diberi kuasa) untuk perkahwinan di bawah 18 tahun.

Manakala bagi perkahwinan Muslim, Fatimah berkata, Jawatankuasa Pindaan Ordinan Syariah Negeri Sarawak Bil 1/18 memutuskan untuk mengguna peruntukan di bawah Seksyen 7 Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak 2001.

Katanya, kebenaran hendaklah diperoleh daripada Hakim Syarie untuk perkahwinan di bawah umur 18 tahun untuk kanak-kanak lelaki dan di bawah umur 16 tahun untuk kanak-kanak perempuan.

Selain itu, katanya Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (surat pekeliling Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM Bil 1/2018).

“Mengikut perkahwinan adat pula, secara umum Ketua Kaum, Ketua Masyarakat dan Majlis Adat Istiadat Sarawak bersetuju bahawa usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

“Bagaimanapun, ia agak sukar untuk dilaksanakan dalam kalangan masyarakat Penan kerana mereka masih hidup nomad atau semi nomad,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan kerumitan masalah perkahwinan kanak-kanak di Sarawak, pelbagai usaha dijalankan oleh pihak berkaitan seperti melaksanakan advokasi untuk umur minimum perkahwinan termasuk program Randau Pembangunan Sosial membabitkan pelajar pada tahun ini.

“Ini akan kami teruskan di semua 24 daerah di Sarawak pada tahun 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 11:32 AM