Statistik yang dibentangkan oleh Dr Wan Azizah di Dewan Rakyat pada 18 Julai lalu membabitkan isu perkahwainan bawah umur.
Statistik yang dibentangkan oleh Dr Wan Azizah di Dewan Rakyat pada 18 Julai lalu membabitkan isu perkahwainan bawah umur.
Rohaniza Idris

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan menggerakkan usaha menyelaraskan perundangan berkaitan di negara ini dalam menetapkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu akan dilaksana sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap isu perkahwinan bawah umur di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pelaksanaan akan dibuat menerusi pembabitan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal-ehwal agama dan undang-undang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua kerajaan negeri.

“Inisiatif itu membabitkan undang-undang seperti Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

“Turut terbabit, Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah dan pelbagai undang-undang adat kaum pribumi di Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Wan Azizah menjawab soalan asal Maria Chin Abdullah (PH-PKR Petaling Jaya) yang ingin mengetahui bentuk undang-undang melindungi kanak-kanak dan remaja daripada eksploitasi serta usaha memastikan ia dipatuhi mahkamah setiap negeri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rundingan akan diadakan bersama pakar berkaitan termasuk pakar kanak-kanak, budaya dan syariah dalam penetapan had umur minimum ini.

“Ini berikutan Malaysia mempunyai adat dan budaya tersendiri mengikut kaum dan kepercayaan,” katanya.

Buat masa ini, katanya, di bawah perundangan sedia ada seperti Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri, memperuntukkan permohonan perkahwinan bawah umur mesti mendapat kebenaran hakim syarie (bagi Islam) dan ketua menteri (bagi bukan Islam).

Beliau berkata, undang-undang berkaitan lain ialah Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah dan pelbagai undang-undang adat kaum.

Dr Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada Selangor dan Sarawak berhubung penetapan had umur perkahwinan kepada minimum 18 tahun baru-baru ini, dan berharap akan diikuti negeri lain.

“Berdasarkan rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, bagi pasangan Islam, sebanyak 5,362 permohonan perkahwinan bawah umur 18 tahun dicatat antara 2013 hingga 2017.

“Bagi pasangan bukan Muslim, 2,367 permohonan perkahwinan bawah umur 18 tahun dicatat bagi tempoh sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 7:55 PM